LONDON: Liverpool mengesahkan pembelian penyerang Sepanyol, Victor Munoz, daripada Osasuna menerusi kontrak jangka panjang, umum kelab Liga Perdana Inggeris itu pada Khamis.
Kehadiran pemain berusia 22 tahun itu menjadi rekrut pertama sejak Andoni Iraola dilantik sebagai pengurus awal bulan ini.
Menurut laporan media, Liverpool dilaporkan membayar sebanyak 40 juta euro bagi mengaktifkan klausa pelepasan Munoz dan menandatangani kontrak selama enam tahun.
Munoz kini menyertai skuad Sepanyol dalam saingan Piala Dunia dan telah menjalani pemeriksaan perubatan di kem latihan pasukan itu di Tennessee sebelum memeterai perjanjian berkenaan, menurut kenyataan kelab.
“Munoz merupakan penambahan kedua dalam skuad utama Liverpool menjelang musim 2026-27, selepas perjanjian dicapai untuk mendapatkan pertahanan tengah Jeremy Jacquet awal tahun ini,” menurut kenyataan tersebut.
Bekas pemain Real Madrid itu menjaringkan enam gol dalam 34 penampilan La Liga bersama Osasuna musim lalu.
Beliau membuat penampilan sulung di pentas antarabangsa pada Mac lalu apabila menjaringkan gol ketika menentang Serbia dalam aksi persahabatan.
Sepanyol yang terikat 1-1 dengan Cape Verde dalam perlawanan pertama Kumpulan H Piala Dunia, dijadual menentang Arab Saudi pada Ahad. - Agensi