Skip to main content

Dunia

AI hakis peranan pekerjaan 'entry-level', wujudkan risiko kepimpinan masa depan

The artificial intelligence AI acronym at the 10th edition of the VivaTech technology startups and innovation fair in Paris, France, June 18, 2026. REUTERS/Gonzalo Fuentes
Penggunaan kecerdasan buatan (AI) kini bukan sahaja mengubah cara kerja, malah mula menghakis peranan peringkat permulaan yang selama ini menjadi ‘tapak latihan’ untuk melahirkan pemimpin masa depan. - Gambar Reuters

PENGGUNAAN kecerdasan buatan (AI) kini bukan sahaja mengubah cara kerja, malah mula menghakis peranan peringkat permulaan yang selama ini menjadi ‘tapak latihan’ untuk melahirkan pemimpin masa depan.

Laporan terkini Forum Ekonomi Dunia (WEF) mendedahkan, trend ini boleh mencetuskan krisis kepimpinan dalam tempoh lima tahun jika organisasi gagal menyesuaikan strategi pembangunan bakat mereka.

Secara realiti, banyak tugasan asas seperti menyediakan laporan, analisis awal dan kerja rutin kini semakin diambil alih oleh AI.

Walaupun ia meningkatkan kecekapan, ia juga mengurangkan peluang pekerja muda untuk belajar melalui pengalaman sebenar, seperti memahami kesilapan, membina keyakinan dan mengasah pertimbangan.

Tanpa proses pembelajaran ini, organisasi berisiko kehilangan ‘bekalan’ pemimpin yang berkualiti.

Trend ini turut disokong oleh data pasaran apabila pengambilan pekerja peringkat awal mencatatkan penurunan ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Dalam masa sama, beban kerja semakin beralih ke peringkat lebih tinggi, sekali gus mewujudkan tekanan dalam struktur organisasi dan potensi kekangan dalam perkembangan kepimpinan.

Golongan Gen Z dilihat paling terkesan apabila perlu menyesuaikan diri dengan persekitaran kerja baharu yang lebih kompleks tanpa latihan mencukupi.

Ramai yang menggunakan AI secara sendiri tanpa garis panduan organisasi, meningkatkan risiko keputusan yang kurang tepat serta kebergantungan berlebihan kepada teknologi tanpa pemahaman mendalam.

Sehubungan itu, WEF mencadangkan beberapa langkah praktikal bagi memastikan pembangunan bakat manusia tidak terpinggir dalam era AI:

1. Tukar tugas kepada proses penilaian:

Jangan hapuskan tugas sepenuhnya, sebaliknya jadikan ia latihan untuk pekerja menilai, menyemak dan mencabar output AI.

2. Wujudkan laluan pembelajaran berstruktur:

Beri tanggungjawab secara berperingkat supaya pekerja muda boleh belajar tanpa risiko kegagalan besar.

3. Peranan pengurus lebih kepada membimbing:

Pengurus perlu ajar cara berfikir dan membuat keputusan, bukan sekadar beri arahan kerja.

4. Perkukuh mobiliti dalaman:

Galakkan pekerja mencuba projek atau peranan berbeza untuk membina kemahiran dan perspektif lebih luas.

5. Tetapkan garis panduan penggunaan AI:

Pastikan ada peraturan jelas supaya pekerja tidak terlalu bergantung kepada AI tanpa membina pemikiran sendiri.

Laporan itu turut menyebut cabaran sebenar bukan terletak pada sejauh mana AI digunakan, tetapi bagaimana organisasi memastikan pembangunan manusia terus seiring dengan teknologi. 

Tanpa imbangan ini, kecekapan hari ini mungkin datang dengan kos besar - kekurangan pemimpin berkualiti pada masa hadapan.

Must Watch Video

Advertisement