Skip to main content

Dunia

Obama rasmi muzium Presiden, seru rakyat Amerika tolak budaya sinis politik dan perpecahan

Former U.S. President Barack Obama and his wife, former first lady Michelle Obama attend the dedication ceremony for the opening of the Obama Presidential Centre in Chicago, Illinois, U.S., June 18, 2026. Picture taken through the bulletproof glass. REUTERS/Jonathan Ernst TPX IMAGES OF THE DAY
Obama ditemani isterinya, Michelle pada majlis perasmian Obama Presidential Center di Chicago, Amerika Syarikat, pada Khamis. Obama Presidential Center merupakan sebuah muzium dan pusat sivik yang didedikasikan bagi memperingati lapan tahun pentadbiran Obama di White House. - Gambar Reuters

CHICAGO: Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama, menyeru rakyat negara itu agar menolak budaya sinis politik dan perpecahan, sebaliknya menghayati tanggungjawab bersama sebagai warga negara.

Seruan itu disampaikan ketika beliau merasmikan pembukaan Obama Presidential Center, sebuah muzium dan pusat sivik yang didedikasikan bagi memperingati lapan tahun pentadbirannya di White House.

Obama mengetuai ribuan hadirin dalam majlis pembukaan penuh hiburan di kampus baharu yang terletak di tepi tasik di Chicago, yang menggabungkan elemen seni, alam semula jadi dan seni bina bagi menghargai legasi pentadbirannya.

Turut hadir ialah isterinya, Michelle Obama, selain beberapa tokoh terkemuka termasuk tiga bekas Presiden AS lain, pemimpin dunia serta artis terkenal seperti Stevie Wonder dan Bruce Springsteen.

Projek bernilai AS$850 juta itu, yang dibuka kepada orang awam pada Jumaat, disifatkan sebagai pelaburan terbesar dalam tempoh satu abad bagi kawasan South Side Chicago yang sebelum ini kurang mendapat perhatian, lokasi di mana keluarga Obama membina kehidupan mereka.

Kompleks muzium itu merangkumi pelbagai kemudahan termasuk dewan seni persembahan, perpustakaan dan pusat sukan, selain bertujuan memperkukuh legasi kepimpinan Obama serta menjadi hab budaya dan kehidupan sivik.

Dalam ucapan berasingan, Barack dan Michelle Obama turut menekankan peranan pusat berkenaan sebagai simbol nilai demokrasi, di tengah-tengah suasana politik AS yang dilihat semakin tegang dan berpecah belah.

Michelle Obama dalam ucapannya berkata legasi sebenar bukan terletak pada peperangan, bangunan atau kekayaan, sebaliknya pada impak yang diberikan kepada kehidupan orang lain.

Beliau turut memuji suaminya atas sikap optimis dan kepimpinan berprinsip sepanjang memegang jawatan presiden, yang menurutnya menjadikan tugas sukar itu tampak mudah.

Sementara itu, Obama mengakui, seruan terhadap demokrasi dan penyertaan sivik mungkin dilihat sebagai sesuatu yang ketinggalan atau naif dalam suasana dunia yang tidak menentu.

Namun, beliau menegaskan, rakyat tidak harus hilang kepercayaan terhadap prinsip asas negara termasuk kesaksamaan dan tadbir urus sendiri.

Beliau berharap pusat tersebut dapat mengingatkan rakyat tentang nilai berharga demokrasi serta kemampuan yang boleh dicapai melalui tanggungjawab bersama sebagai warga.

Obama turut memberi amaran bahawa jika rakyat mengabaikan tanggungjawab sebagai warga, ia akan membuka ruang kepada pihak berkepentingan untuk memanipulasi kuasa serta memecahbelahkan masyarakat.

Dalam majlis itu, keluarga Obama turut disertai dua anak mereka, Malia dan Sasha, selain beberapa bekas Presiden AS termasuk Bill Clinton, George W. Bush dan Joe Biden serta pasangan masing-masing.

Turut hadir ialah bekas Naib Presiden Kamala Harris; bekas Speaker Dewan Perwakilan, Nancy Pelosi dan tokoh antarabangsa termasuk bekas Canselor Jerman, Angela Merkel serta bekas Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau.

Majlis selama tiga jam itu turut dimeriahkan dengan persembahan artis popular termasuk Jennifer Hudson, John Legend, Common, Bono dan Stevie Wonder.

Obama Presidential Center yang dibangunkan di atas kawasan seluas lebih 19 ekar turut menampilkan ruang awam seperti taman, laluan pejalan kaki, kawasan rekreasi dan gelanggang bola keranjang, selain dihiasi puluhan karya seni asli.

Pusat berkenaan dijangka menarik antara 750,000 hingga satu juta pengunjung setiap tahun, sekali gus menjadi pemangkin baharu kepada aktiviti sosioekonomi dan budaya di Chicago. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement