Skip to main content

Dunia

Vance tempelak pemimpin Israel, beri peringatan Trump satu-satunya sekutu utama

U.S. Vice President JD Vance delivers remarks during an event at Gold Coast Studios on June 17, 2026 in Bethpage, New York. Vance's visit comes after the Justice Department filed a lawsuit this week against New York state officials over alleged Medicaid fraud related to the state’s $10 billion home-care program. Spencer Platt/Pool via REUTERS
Vance turut mengkritik beberapa anggota Kabinet Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, yang secara terbuka mengkritik perjanjian berkenaan dan menyerang Trump secara peribadi. - Gambar Reuters

WASHINGTON: Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), JD Vance menempelak pengkritik dari Israel berhubung perjanjian dengan Iran, dengan mengingatkan mereka Presiden Donald Trump sebagai satu-satunya sekutu negara itu ketika ini.

Kenyataan tegas itu dibuat susulan kritikan yang timbul terhadap perjanjian yang dicapai minggu ini bagi menamatkan konflik dengan Iran, yang didakwa gagal mengekang program peluru berpandu Tehran serta tidak menyediakan pelan jelas untuk melupuskan kemudahan nuklearnya.

Kata Vance, Trump satu-satunya pemimpin dunia yang bersimpati terhadap Israel pada masa ini, sambil mengingatkan bahawa negara itu menerima bantuan pertahanan bernilai berbilion dolar daripada AS setiap tahun.

Beliau turut mengkritik beberapa anggota Kabinet Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, yang secara terbuka mengkritik perjanjian berkenaan dan menyerang Trump secara peribadi.

“Jika saya berada dalam Kabinet kerajaan Israel, saya tidak akan menyerang satu-satunya sekutu berkuasa yang masih ada,” katanya dalam sidang media di White House, pada Khamis.

Dalam masa sama, Vance menegaskan, dua pertiga daripada sistem pertahanan yang melindungi Israel dibina dan dibiayai oleh AS melalui dana pembayar cukai negara itu.

Hubungan antara AS dan Israel dilihat semakin tegang sejak kebelakangan ini, meskipun kedua-dua negara sebelum ini bekerjasama dalam serangan terhadap Iran.

Konflik berkenaan turut memberi kesan kepada pasaran global serta bekalan minyak susulan tindakan Tehran menutup Selat Hormuz.

Sementara itu, Netanyahu dalam kenyataan terbaharunya menegaskan, Israel tetap menghargai hubungan dengan AS, namun, akan terus mengekalkan kehadiran ketenteraan di selatan Lubnan bagi menjamin keselamatan rakyatnya.

Beliau berkata, langkah itu perlu diteruskan selagi ia dianggap penting untuk keselamatan negara.

Dalam perkembangan sama, Israel turut mengeluarkan peta baharu yang menunjukkan peluasan zon kawalan ketenteraan di selatan Lubnan dan tidak menolak kemungkinan melaksanakan serangan di luar kawasan tersebut.

Vance juga mengkritik Menteri Keselamatan Nasional Israel yang berhaluan kanan, Itamar Ben-Gvir serta Menteri Kewangan, Bezalel Smotrich, yang lantang menentang perjanjian AS-Iran.

Menurut Vance, pendekatan ketenteraan semata-mata bukan penyelesaian kepada semua isu keselamatan negara.

Sebagai reaksi, Ben-Gvir mempertahankan pendirian Israel dan menyamakan ancaman semasa dengan ancaman Nazi pada abad ke-20.

Dalam pada itu, Trump menyeru semua pihak di Asia Barat agar terus komited terhadap rundingan damai serta mematuhi gencatan senjata sepenuhnya di semua medan, termasuk di Lubnan, melibatkan Hezbollah dan Israel. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement