Skip to main content

Dunia

Kembali beraksi, Serena Williams menang di Queen’s

Sep 2, 2022; Flushing, NY, USA; Serena Williams of the United States gestures to the crowd after a match against Ajla Tomljanovic of Australia on day five of the 2022 U.S. Open tennis tournament at USTA Billie Jean King Tennis Center. Danielle Parhizkaran-USA TODAY Purchase Licensing Rights
Williams tidak beraksi secara kompetitif selama 1,376 hari sejak penampilan terakhirnya di Terbuka AS 2022. - Gambar fail/ Reuters

LONDON: Serena Williams melakukan pukulan servis sepantas 193 kilometer sejam dan meraikan kemunculannya semula dalam tenis dengan kemenangan pusingan pertama beregu 7-6 (2), 6-2 bersama Victoria Mboko selepas menewaskan Nicole Melichar-Martinez dan Erin Routliffe pada Kejohanan HSBC di London, lapor PA Media/dpa.

Williams, 44, iaitu 25 tahun lebih tua berbanding Mboko yang berumur 19 tahun. Bintang Amerika Syarikat (AS) itu tidak beraksi secara kompetitif selama 1,376 hari sejak penampilan terakhirnya di Terbuka AS 2022.

Beliau memilih Mboko, penerima anugerah Pendatang Baharu WTA Terbaik 2025, sebahagiannya kerana remaja Kanada itu mengingatkannya kepada dirinya sendiri, jelas Williams pada Ahad.

Kemunculan semulanya, yang menurutnya tercetus daripada fikiran “kenapa tidak?”, turut memberi peluang kepada Williams untuk beraksi di hadapan Olympia dan Adira, dua anak perempuannya hasil perkahwinan dengan pengasas Reddit Alexis Ohanian.

Kedua-dua anaknya hadir di Arena Andy Murray, lokasi juara perseorangan Grand Slam 23 kali itu kelihatan seperti membawa tuah selepas hujan menjejaskan sebahagian besar aksi pada Isnin.

Cuaca sememangnya menyebabkan sedikit kelewatan lebih awal apabila pemain nombor satu Britain Emma Raducanu membuka musim gelanggang rumputnya dengan kemenangan ke atas pemain kelayakan Russia Anna Blinkova.

Namun, cuaca bertambah baik apabila Williams, Mboko serta lawan mereka memasuki gelanggang sekitar 5.45 petang dan disambut tepukan gemuruh penonton yang berdiri.

Sorakan kembali bergema apabila Williams membantu memperoleh dua mata awal pasangan itu menuju kemenangan permainan pertama sebelum mematahkan servis lawan pada permainan berikutnya. Dalam suasana berangin di barat London, beliau mencatat servis terpantas awal pada kelajuan 181 kilometer sejam ketika permainan servis pertamanya, yang turut dimenangi pasangan Amerika Utara itu.

Williams dan Mboko kehilangan servis buat kali pertama pada permainan ketujuh set pertama, namun pukulan double backhand yang mempamerkan senyuman lebar daripada pemain Amerika itu membantu mereka mendahului 5-4 sebelum Williams menghasilkan servis terpantas set berkenaan -- 193 kilometer sejam -- dua permainan kemudian.

Juara perseorangan Wimbledon tujuh kali itu dan Mboko, yang merangkul gelaran WTA pertama sebagai pemain wildcard di Montreal tahun lepas, semakin serasi apabila memenangi set pertama menerusi tie-break.

Mereka mendahului satu set dan satu break selepas permainan ketiga set kedua, yang turut menyaksikan cabaran semakan video pertama perlawanan diminta oleh Melichar-Martinez, namun tanpa keputusan muktamad.

Mboko memastikan break point kedua pasangan itu ketika mereka semakin hampir ke arah kemenangan sebelum Williams melakukan dua servis ace meyakinkan untuk memperoleh dua mata kemenangan.

Walaupun sebelum perlawanan Williams berkata beliau tidak terlalu memberi tumpuan kepada keputusan kerana sudah memenangi banyak gelaran sepanjang kariernya, beliau jelas kelihatan gembira selepas meraih kemenangan pertama sejak kembali beraksi.

-- BERNAMA-PA MEDIA/dpa

 

 

Must Watch Video

Advertisement