Skip to main content

Politik

Rapat Rakyat Selangor: Tengok siapa calon, bukan lambang parti semata - Pejuang

Akmal Rapat Rakyat
Akmal berkata tindakan pertama yang perlu diambil anak muda ialah mengambil tahu tentang politik, termasuk memahami parti yang bertanding serta calon yang bakal memimpin. - Gambar Astro AWANI

SHAH ALAM: Golongan muda diseru supaya lebih peka terhadap perkembangan politik semasa serta membuat pilihan bijak dalam menentukan kepimpinan negara.

Pengerusi Jawatankuasa Orang Muda, Parti Pejuang Tanahair (Jom Pejuang), Akmal Yusoff berkata, tindakan pertama yang perlu diambil anak muda ialah mengambil tahu tentang politik, termasuk memahami parti yang bertanding serta calon yang bakal memimpin.

Akmal turut menekankan kepentingan mengenali latar belakang calon yang bertanding dan tidak hanya bergantung kepada lambang parti semata-mata.

“Tolong ambil tahu tentang politik, parti mana yang bertanding dan siapa yang akan jadi pemimpin.

“Sekarang sudah tahun 2026, orang muda jangan sekadar terpengaruh. Tengok siapa individu tersebut, apa kelulusannya, nama dan latar belakangnya,” katanya ketika berucap pada Program Rapat Rakyat Selangor di sini pada Sabtu.

Menurut beliau, pengundi seharusnya menilai calon secara menyeluruh sebelum membuat keputusan, sama seperti mereka memilih barangan harian.

“Kalau kita pergi pasar beli buah oren, adakah kita ambil sahaja tanpa tengok? Tidak. Kita pilih yang terbaik. Begitu juga bila beli sayur, kita akan pilih sebelum bayar,” katanya.

Beliau berkata pendekatan sama perlu digunakan dalam memilih pemimpin, terutama menjelang pilihan raya negeri atau umum yang akan datang.

Akmal berkata tempoh sebelum pilihan raya merupakan masa terbaik untuk rakyat membuat penilaian dan mencari maklumat tepat mengenai calon.

“Sekarang adalah masa untuk kita ‘search’, mencari kebenaran, melihat siapa yang layak menjadi pemimpin dan sama ada kita boleh menyokong mereka,” jelasnya.

Beliau turut mengingatkan pengundi supaya tidak menunggu saat akhir atau dipengaruhi imbuhan dalam membuat keputusan.

“Jangan tunggu sehari sebelum mengundi, baru nak buat pilihan hanya kerana diberi RM100. Gunakan kemudahan teknologi yang ada, buka telefon dan cari maklumat,” tegasnya.

Akmal menegaskan, sikap bertanggungjawab dalam memilih pemimpin adalah asas penting dalam memperkukuh agenda peduli rakyat dan memastikan masa depan negara yang lebih baik.

Program Rapat Rakyat Selangor itu disertai lebih 300 orang yang terdiri daripada golongan muda dan masyarakat setempat.

Antara yang hadir Naib Presiden BERSATU Malaysia, Datuk Dr Radzi Jidin, Naib Presiden BERSATU Malaysia, Hilman Idham, Ketua Bersekutu BERSATU Malaysia, Datuk Sri R. Sri Sanjeevan dan Ketua Bahagian BERSATU Shah Alam, Mohd Idris Halt.

Must Watch Video