Skip to main content

Politik

PRN Johor: Fahmi selar pihak menyamar calon PH di Endau

KOTA BHARU, 16 Jun -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil ketika sidang media selepas menyampaikan watikah pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pengerusi Panel Penasihat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) bagi Negeri Kelantan hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata pihak berkenaan, sanggup melakukan apa sahaja semata-mata untuk menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor. - Gambar fail/BERNAMA

JOHOR BAHRU: Tindakan pihak tertentu menyamar sebagai calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau Saiful Nizam Samat, merupakan satu perbuatan yang tidak bertanggungjawab.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata pihak berkenaan, sanggup melakukan apa sahaja semata-mata untuk menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

“Ini tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab. Nak menang dengan apa cara sekalipun!”, katanya menerusi ruangan komen di hantaran Facebook rasmi Saiful Nizam.

Terdahulu, Saiful Nizam tampil menafikan pemilikan satu akaun WhatsApp yang menggunakan nama dan identitinya, untuk berhubung dengan orang ramai bagi tujuan kempen PRN Johor.

Saiful Nizam berkata akaun tersebut bukan miliknya dan tiada kaitan dengan beliau atau pasukannya yang dikenali sebagai “Team SS”.

“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada, tidak berkongsi maklumat peribadi serta tidak membuat sebarang urusan dengan individu tersebut.

“Sekiranya menerima mesej yang meragukan, sila hubungi saluran rasmi ‘Team SS’ untuk pengesahan,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Beliau turut melampirkan tangkap layar perbualan daripada akaun palsu tersebut yang menggunakan gambar profil beliau berserta teks: “Saya Saiful Samad bakal YB Endau”.

Kerusi DUN Endau menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan calon Barisan Nasional (BN), PH, Perikatan Nasional (PN) dan Parti Orang Asli Malaysia (ASLI). 

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor/.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement