Skip to main content

Dunia

Trump dakwa proses denuklearisasi Iran berjalan lancar

President Donald Trump is pictured in the Oval Office of the White House during an executive order signing about quantum computing, Monday, June 22, 2026, in Washington. (AP Photo/Jacquelyn Martin)
Trump menolak kebimbangan mengenai kemungkinan perang berskala penuh tercetus semula dengan menyatakan Iran telah "mencapai banyak kemajuan". - Gambar fail/AP

ISTANBUL: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Rabu mendakwa proses denuklearisasi Iran "berjalan lancar" ketika rundingan diteruskan di Qatar, lapor Anadolu Ajansi.

"Mereka mengadakan mesyuarat yang sangat baik," kata Trump kepada pemberita sebelum berlepas ke North Dakota, merujuk kepada utusan khasnya Steve Witkoff dan Jared Kushner yang kini berada di Doha.

Trump menolak kebimbangan mengenai kemungkinan perang berskala penuh tercetus semula dengan menyatakan Iran telah "mencapai banyak kemajuan".

Kenyataan beliau dibuat susulan laporan Wall Street Journal yang menyebut beliau baru-baru ini membincangkan kemungkinan perang berskala penuh tercetus semula bersama penasihat kanan ketenteraan, termasuk Setiausaha Pertahanan Pete Hegseth, namun buat masa ini memutuskan untuk mengutamakan pendekatan diplomatik.

Presiden Amerika Syarikat itu berkata walaupun tenteranya "telah melancarkan serangan hebat terhadap Iran minggu lepas", beliau percaya proses diplomatik kini menunjukkan perkembangan yang positif. "Hubungan kami berjalan dengan sangat baik," katanya.

Laporan Bloomberg pada Rabu pula menyatakan rundingan teknikal di Qatar menunjukkan kemajuan ketika Washington dan Tehran berusaha mencapai penyelesaian berkekalan terhadap konflik yang berlarutan sejak beberapa bulan lalu.

Walaupun Rumah Putih memberikan gambaran yang positif, Tehran secara rasmi menafikan sebarang pertemuan secara langsung dengan wakil Amerika Syarikat telah dijadualkan, sambil menegaskan semua rundingan dijalankan menerusi pihak pengantara.

Memorandum persefahaman antara Washington dan Tehran yang diusahakan oleh Pakistan mula berkuat kuasa selepas ditandatangani secara elektronik oleh Presiden Iran Masoud Pezeshkian dan rakan sejawatnya dari AS, Donald Trump.

Perjanjian itu menyediakan rangka kerja untuk menamatkan konflik yang bermula pada penghujung Februari serta menangani isu-isu tertunggak antara Washington dan Tehran menerusi rundingan, termasuk gencatan senjata di semua medan, termasuk Lubnan, pelonggaran sekatan, isu nuklear, pembukaan semula sepenuhnya Selat Hormuz serta pengaturan keselamatan serantau yang lebih menyeluruh.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

Must Watch Video

Advertisement