MUAR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan tiada sebarang perbincangan khusus antara Pas dan Barisan Nasional (BN) sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, meskipun timbul pelbagai spekulasi berhubung hubungan kedua-dua parti.
Beliau berkata, tanggapan bahawa Pas dan BN sedang mengadakan rundingan adalah tidak tepat kerana ketika ini setiap parti memberi tumpuan kepada gerak kerja serta strategi kempen masing-masing bagi menghadapi PRN Johor.
“Kerjasama yang berlaku sekarang ini adalah tanggapan pihak luar. Apa yang berlaku adalah persefahaman masing-masing di tempat masing-masing.
“Tak ada (perbincangan) berjalan. Kita fokus kepada jentera masing-masing yang buat kerja,” katanya.
Ahmad Samsuri berkata demikian ketika ditemui pada sesi walkabout bersama calon PN Dewan Undangan Negeri (DUN) Maharani, Anuar Hayan di Bandar Maharani, pada malam Rabu.
Menurut beliau, memandangkan PN tidak bertanding di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), penyokong di kawasan yang tidak ditandingi gabungan itu perlu membuat pertimbangan sendiri ketika menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
Beliau berkata keadaan itu merupakan realiti dalam sistem pilihan raya, namun tidak boleh ditafsirkan sebagai bukti wujudnya kerjasama politik atau rundingan rasmi antara Pas dan BN.
“Tidak ada (pengundi) keliru, kecualilah kita bertanding semua kerusi, jadi itu satu gesaan yang tentulah sukar untuk dilaksanakan kalau kita bertanding semua kerusi.
“Kita letak calon di separuh saja kerusi yang dipertandingkan. Jadi tentulah tempat yang tak bertanding itu kena ada satu perkiraan (strategi) bagaimana undi nak diberikan,”tambahnya.
Spekulasi mengenai hubungan Pas dan BN sebelum ini turut timbul susulan gesaan kepimpinan Pas supaya ahli dan penyokongnya mengundi calon UMNO-BN di kerusi DUN yang tidak ditandingi PN pada PRN Johor.
Keadaan itu turut diperbincangkan selepas beberapa pemimpin Pas dilihat menghadiri program UMNO di Rengit, sekali gus mencetuskan pelbagai andaian mengenai kemungkinan wujud persefahaman antara kedua-dua parti.
Bagaimanapun, Ahmad Samsuri menegaskan situasi tersebut tidak wajar dijadikan asas untuk mengaitkan wujudnya sebarang rundingan rasmi antara Pas dan BN.
Pada masa sama, beliau menegaskan fokus utama PN ketika ini adalah memastikan kemenangan calon-calon gabungan itu serta memperkukuhkan gerak kerja jentera di setiap kawasan yang ditandingi.