SHAH ALAM: Datuk Seri R. Sanjeevan menegaskan peranan pembangkang adalah untuk mengkritik dasar kerajaan yang dilihat tidak memihak kepada rakyat, selain menjadi semak dan imbang dalam sistem demokrasi.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu itu berkata, dakwaan bahawa pembangkang sentiasa berusaha menjatuhkan kerajaan adalah tidak tepat, sebaliknya merupakan sebahagian daripada fungsi asas pembangkang.
“Sejak 2022, saya sering dengar Perdana Menteri berkata pembangkang tidak habis-habis mahu tumbangkan kerajaan. Tetapi itu adalah tugas pembangkang untuk mengkritik dasar yang tidak betul dan memastikan kerajaan berlaku adil kepada rakyat,” katanya ketika berucap di Program Rapat Rakyat Selangor, di sini, pada Sabtu.
Menurut Sanjeevan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga sebelum ini pernah membangkitkan soal memiliki sokongan majoriti kukuh untuk membentuk kerajaan.
“Siapa yang mula bercakap tentang ‘strong, convincing, formidable numbers’? Siapa yang bawa naratif itu sejak 2008 dan juga pada 2020? Tetapi hari ini, apabila sudah berada di puncak kuasa, perkara itu dilupakan,” tegasnya.
Beliau berkata, pembangkang akan terus memainkan peranannya dengan mengkritik dan menegur kerajaan sebagai persediaan untuk mengambil alih pentadbiran pada masa akan datang.
“Kita yang berada di pihak pembangkang akan terus buat kerja kita, iaitu mengkritik dan menegur kerajaan. Itu tanggungjawab kita sementara menunggu masa untuk menjadi kerajaan,” katanya.
Sanjeevan pada masa sama berharap pengundi khususnya di Shah Alam dapat membuat pilihan yang membawa perubahan pada pilihan raya akan datang.
“Saya berharap rakyat, khususnya pengundi Shah Alam, dapat membuat pilihan yang mampu membawa perubahan dalam pilihan raya umum atau negeri akan datang,” katanya.
Program Rapat Rakyat Selangor itu disertai lebih 300 orang yang terdiri daripada golongan muda dan masyarakat setempat.