Skip to main content

Politik

PRN Negeri Sembilan: Tiada isu pengkhianatan UMNO - Zahid

Zahid MWL. Kredit:Astro AWANI
Ahmad Zahid hadir ke Persidangan Ilmuwan Asia Tenggara Keempat di sini, hari ini. - Gambar/ Astro AWANI

KUALA LUMPUR: Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan tidak timbul isu pengkhianatan UMNO berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Beliau berkata sokongan UMNO kepada kerajaan negeri sebelum ini adalah sehingga tamat penggal pentadbiran.

"Tidak timbul pengkhianatan kerana dukungan kita kepada kerajaan di Negeri Sembilan adalah sehingga akhir penggal,” katanya ketika diminta mengulas dakwaan pihak tertentu yang melabel UMNO sebagai pengkhianat.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Ilmuwan Asia Tenggara Keempat (The 4th Southeast Asian Scholars Conference 2026) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.

Menurut Presiden UMNO itu, keputusan untuk bergerak atas tiket Barisan Nasional (BN) selepas pembubaran DUN adalah selaras dengan proses demokrasi.

Beliau berkata langkah itu diambil susulan pengumuman pembubaran oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, sekali gus membuka laluan kepada PRN.

“Apabila Menteri Besar Negeri Sembilan mengumumkan pembubaran, maka kita akan bekerja sebagai sebuah gabungan parti yang mempunyai hala tuju yang perlu diterjemahkan dalam bentuk tindakan,” katanya.

Ahmad Zahid turut menegaskan bahawa tiada sebarang unsur pengkhianatan apabila sesuatu penggal pentadbiran, sama ada di peringkat negeri atau nasional, telah berakhir.

Sebaliknya, beliau berkata keutamaan kini adalah mencari pendekatan terbaik bagi memperkukuh kedudukan parti dalam DUN dan Parlimen.

“Kita akan mencari jalan terbaik untuk memperkukuhkan kedudukan di Dewan Undangan Negeri mahupun di Parlimen,” katanya.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun ketika berucap pada pelancaran jentera pilihan raya PH pada Jumaat, menyeru pengundi di negeri itu memanfaatkan PRN pada 1 Ogos bagi menghukum UMNO.

Beliau berkata, pengkhianatan terhadap kerajaan negeri oleh parti tersebut membawa kepada pembubaran DUN.

Menurutnya, sepucuk surat didakwa ditulis oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kepada pemimpin-pemimpin Pas mendedahkan perbincangan antara Perikatan Nasional (PN) dan UMNO mengenai usaha menjatuhkan beliau sebagai Menteri Besar.

Aminuddin mengumumkan DUN dibubarkan pada minggu lepas, dua tahun sebelum tempoh berakhir, selepas dua minggu pergolakan politik yang berpunca daripada tindakan 14 ADUN UMNO mengisytiharkan hilang kepercayaan kepada Aminuddin, yang memimpin kerajaan campuran negeri dibentuk oleh PH dan BN. 

Dalam masa sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Presiden PH pada Jumaat menegaskan beliau tidak pernah menganggap UMNO sebagai musuh dalam Kerajaan Perpaduan sebaliknya kekal bekerjasama demi rakyat.

Beliau yang juga Presiden PKR itu turut menekankan kepentingan menjamin kesejahteraan rakyat dengan menjaga kestabilan politik dan kerjasama dalam kalangan parti-parti gabungan pentadbiran kerajaan.

Perkara ini dapat dilihat menerusi kerjasama beliau dalam pentadbiran kerajaan Pusat dengan Ahmad Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri Dan Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah.

“Saya bukan nak bermusuh, belah kanan ada Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO. Kita bekerja seperti biasa kerana kasih kepada rakyat. Saya ketua Pakatan Harapan.

“UMNO, saya tidak pernah anggap mereka sebagai musuh dalam Kerajaan Perpaduan,’’ katanya ketika berucap melancarkan jentera pilihan raya PH Negeri Sembilan di Seremban, malam tadi.

Must Watch Video

Advertisement