ISTANBUL: Angka korban akibat gempa bumi kuat yang melanda selatan Filipina awal minggu ini meningkat kepada 61 orang, menurut pihak berkuasa pada Sabtu ketika pasukan mencari dan menyelamat (SAR) meneruskan operasi di kawasan paling teruk terjejas di Mindanao, lapor Anadolu Ajansi.
Pejabat Pertahanan Awam (OCD) memaklumkan jumlah kematian meningkat selepas lebih banyak mayat ditemukan di kawasan yang terjejas.
Penyiar GMA News melaporkan seramai 33 orang masih hilang manakala 1,221 lagi cedera.
Pihak berkuasa memaklumkan operasi SAR dan mengeluarkan mangsa masih diteruskan ketika anggota pasukan kecemasan terus mencari mangsa terselamat serta mengeluarkan mangsa yang terperangkap akibat tanah runtuh dan struktur yang runtuh.
Menurut Pusat Pemantauan dan Maklumat Operasi Respons Bencana (DROMIC), gempa bumi itu menjejaskan 553,068 penduduk di wilayah Mindanao.
Philippine Daily Inquirer melaporkan, kira-kira 9,393 orang ditempatkan di pusat pemindahan sementara manakala 54,274 lagi mendapatkan perlindungan sementara bersama saudara-mara dan rakan di luar pusat pemindahan rasmi.
Penilaian awal kerosakan menunjukkan sebanyak 8,865 rumah musnah manakala 36,691 lagi mengalami kerosakan separa.
Usaha menyelamat terjejas akibat gegaran susulan, bangunan tidak stabil dan jalan raya yang rosak, sekali gus menyukarkan petugas bantuan untuk sampai ke beberapa komuniti terjejas.
Gempa bumi bermagnitud 7.8 itu melanda kawasan luar pantai Mindanao awal minggu ini, mencetuskan panik yang meluas serta menyebabkan kerosakan besar pada rumah, sekolah, hospital dan infrastruktur awam.
General Santos City dan beberapa kawasan di wilayah Sarangani merupakan antara kawasan paling teruk terjejas, sekali gus mendorong pihak berkuasa mengisytiharkan darurat bencana bagi mempercepat usaha bantuan dan pemulihan.
-- BERNAMA-ANADOLU