Skip to main content

Malaysia

Sabah Southern MADANI Link pastikan pembangunan sampai ke pedalaman - PM Anwar

SIPITANG, 13 Jun -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (tiga kiri) pada majlis perasmian Peluncuran Projek Sabah Southern Madani Link di Kompleks Persatuan Kebudayaan Lundayeh Sabah jari ini.Turut sama, Ketua menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor (empat kiri). -- FotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA.
Perdana Menteri (tiga kiri) pada majlis perasmian Peluncuran Projek Sabah Southern MADANI Link di Kompleks Persatuan Kebudayaan Lundayeh Sabah hari ini. - Foto Bernama

SIPITANG: Pelaksanaan projek grid tenaga elektrik Sabah Southern MADANI Link  (SSML) membuktikan komitmen kerajaan Persekutuan dalam memastikan agenda pembangunan dan kemudahan asas dapat dinikmati rakyat di kawasan pedalaman Sabah.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata projek itu selaras dengan dasar Malaysia MADANI yang menekankan pembangunan adil dan saksama, tanpa memfokuskan kemajuan hanya di kawasan bandar utama.

Beliau berkata pembangunan sebenar tidak akan memberi kesan menyeluruh sekiranya kemudahan asas masih gagal sampai ke kawasan terpencil, khususnya di pedalaman Sabah.

"Sebab itu saya terkesan dan mahu memastikan pembangunan itu merata di seluruh pelusuk negeri termasuk di kawasan pedalaman, (ini) yang membezakan pendekatan kita dengan setengah negara luar iaitu pembangunan hanya tertumpu di kota besar sahaja," katanya ketika berucap merasmikan majlis pecah tanah projek SSML di sini.

Turut hadir Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud. 

SSML melibatkan jajaran talian transmisi elektrik 275 kilovolt (kV) yang menghubungkan Pantai Barat dan Timur Sabah sekali gus berperanan penting memperkukuh grid bekalan tenaga elektrik serta mengimbangi agihan tenaga di negeri itu.

Projek yang bermula 17 Sept tahun lepas itu dijadual siap pada 16 Sept 2028 dengan kos RM198 juta, manakala kemajuan semasa projek setakat 26 Mei lepas adalah pada tahap 17 peratus.

Anwar berkata projek grid tenaga berkenaan mempunyai signifikan besar kerana memerlukan pengorbanan serta usaha gigih pekerja di lapangan yang menembusi kawasan hutan belantara di selatan Sabah bagi membangunkan rangkaian bekalan elektrik untuk rakyat.

"Saya terharu dan gembira kerana boleh lihat pencawang (talian) itu merentas belantara. Bayangkan yang kerja dia masuk hutan tinggal keluarga hanya untuk bangunkan bekalan elektrik bagi rakyat Sabah. Jadi kawan-kawan, saya ucap terima kasih penuh penghargaan dengan pengorbanan ini,” katanya.

Mengulas mengenai kritikan sesetengah pihak di Parlimen berhubung peruntukan pembangunan yang tinggi untuk Sabah dan Sarawak, Perdana Menteri  berkata kerajaan mempertahankan tindakan itu bagi merapatkan jurang kemajuan infrastruktur dikedua-dua negeri berkenaan.

Anwar berkata  pihak yang mengkritik peruntukan pembangunan untuk Sabah dan Sarawak kebanyakannya tidak pernah turun padang dan merasai sendiri cabaran dihadapi penduduk, termasuk keadaan jalan raya rosak serta isu bekalan air dan elektrik.

"Menjadi tanggungjawab kita untuk menjelaskan kepada mereka dan memastikan keutamaan (peruntukan) terus diberikan bagi menjamin kemudahan rakyat serta memacu pertumbuhan ekonomi industri di sini," katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata pelaksanaan SSML turut menjadi pemangkin kepada transformasi besar sistem Grid Sabah, sekali gus membolehkan negeri itu memainkan peranan penting dalam merealisasikan ASEAN Power Grid yang bertujuan menghubungkan sistem bekalan elektrik negara-negara di Asia Tenggara.

Beliau berkata integrasi itu melibatkan pembangunan rangkaian interkoneksi tenaga serantau bermula dari Vietnam melalui dasar laut ke Semenanjung Malaysia dan Singapura, seterusnya digabungkan dengan rangkaian kabel dasar laut dari Sarawak.

"Dengan kekuatan baharu tenaga Sabah Grid ini, kita akan boleh menyambungkan bekalan dari Sarawak ke Sabah untuk disalurkan terus masuk ke Kalimantan, Indonesia dan seterusnya ke wilayah Selatan," kata beliau.

Anwar berkata pembangunan  grid tenaga bersepadu itu bukan sahaja meningkatkan kebolehpercayaan bekalan elektrik di Sabah, malah dijangka memberi manfaat besar kepada rakyat menerusi kemudahan asas yang lebih baik, bekalan tenaga stabil serta daya tarikan lebih kukuh kepada pelabur.

"Siapa yang nak datang melabur kalau kawasan kita gelap atau bekalan tidak mencukupi untuk menjaga industri? Oleh itu, kemudahan antarabangsa ini dibina bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negeri dapat dipacu dengan lebih rancak dan segar," katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement