Skip to main content

Politik

PRN Negeri Sembilan: Polis lulus 19 permit ceramah kempen

JOHOR BAHRU, 29 Jun -- Suasana perang bendera antara parti-parti politik yang bertanding, Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), dapat dilihat di sekitar Taman Pelangi sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Secara keseluruhannya, situasi keselamatan dan ketenteraman awam sepanjang proses PRN Negeri Sembilan ke-16 ketika ini berada pada tahap baik dan terkawal kata Alzafny. - Gambar hiasan Bernama

SEREMBAN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) meluluskan sebanyak 19 permohonan permit bagi penganjuran ceramah dan aktiviti kempen yang diterima sejak semalam sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, permohonan tersebut diluluskan selepas memenuhi semua syarat yang ditetapkan.

Beliau berkata, bagaimanapun, setiap program dan aktiviti politik akan dipantau bagi memastikan penganjurannya mematuhi undang-undang serta tidak menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam.

"Secara keseluruhannya, situasi keselamatan dan ketenteraman awam sepanjang proses PRN Negeri Sembilan ke-16 ketika ini berada pada tahap baik dan terkawal.

"Dari aspek penguatkuasaan, kita hanya menerima satu laporan polis dan tiada kertas siasatan berkaitan kesalahan pilihan raya dibuka," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Alzafny berkata, polis akan terus mempertingkatkan tahap kesiapsiagaan, pemantauan dan penguatkuasaan secara menyeluruh sepanjang tempoh pilihan raya berlangsung.

Beliau berkata, sebarang pelanggaran undang-undang akan diambil tindakan secara tegas, adil dan berintegriti tanpa sebarang kompromi.

Alzafny berkata, orang ramai dinasihatkan supaya mematuhi undang-undang, menghormati proses demokrasi serta memberikan kerjasama penuh kepada anggota PDRM bagi memastikan PRN Negeri Sembilan berlangsung dalam aman, harmoni, selamat dan teratur.

DUN Negeri Sembilan dibubarkan pada 5 Jun lepas dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 1 Ogos sebagai tarikh pengundian, manakala undi awal pada 28 Julai ini.

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Negeri Sembilan ke-16, layari https://prn.bernama.com/n9.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement