PORT DICKSON: Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan menegaskan isu yang timbul susulan pencalonan semula penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chuah telah diselesaikan dan tidak lagi menjejaskan gerak kerja parti menjelang Pilihan Raya Negeri Sembilan ke-16 (PRN16).
Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pelbagai dakwaan dan spekulasi yang tular di media sosial berhubung situasi di DUN Chuah telah ditangani beberapa hari lalu.
“Kita lihat banyak media sosial dan juga beberapa individu menyatakan apa yang berlaku di DUN Chuah.
“Alhamdulillah, sebenarnya isu ini telah diselesaikan beberapa hari lepas dan kita sedia maklum saudara Datuk Kenny memberikan sokongannya penuh kepada kami, calon-calon Pakatan Harapan di Chuah, di Lukut, di Sri Tanjung, di Bagan Pinang dan juga di Linggi,” katanya dalam Sidang Media calon Pakatan Harapan DUN Chuah dan Sri Tanjung, di sini, pada Isnin.
Beliau berkata demikian sebagai respon kepada isu yang tular sebelum ini berkaitan pemilihan calon PH bagi mempertahankan kerusi DUN Chuah.
Ia membabitkan penyandang kerusi DUN tersebut, Datuk Yew Boon Lye dan Timbalan Ketua Cabang Keadilan Port Dickson, Datuk Kenny Chiew Chi Kin.
“Saudara Kenny telah memberikan satu perkhidmatan yang baik kerana beliau merupakan Timbalan Ketua Cabang yang bekerja keras untuk memastikan kekuatan parti di cabang Port Dickson ini dapat berjalan dengan baik.
“Jadi saya ucapkan ribuan terima kasih atas kekuatan semangat saudara Datuk Kenny yang memberikan sokongan bagi memastikan kemenangan kelima-lima DUN yang dipertandingkan oleh Pakatan Harapan,” katanya lagi.
Pada PRN 2023, Boon Lye berjaya mempertahankan kerusi DUN Chuah dalam saingan dua penjuru apabila memperoleh 8,172 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Tang Jay Son dengan majoriti 6,298.
Manakala dalam persaingan PRN16 kali ini, Boon Lye sekali lagi berdepan saingan dua penjuru menentang calon Barisan Nasional (BN), Pau Jeou Ching.