Skip to main content

Politik

PRN Negeri Sembilan: Pengundi mahu ADUN mudah didekati, selesai isu rakyat

TEMPOH BERKEMPEN PRN NEGERI SEMBILAN
Berdasarkan statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebanyak 889,490 pemilih layak mengundi pada PRN Negeri Sembilan kali ini yang terdiri daripada 867,151 pengundi biasa, 16,884 anggota tentera dan pasangan serta 5,455 anggota polis dan pasangan. - Gambar hiasan Bernama

SEREMBAN: Tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 yang masuk hari keenam hari ini menyaksikan majoriti rakyat negeri itu mahu pemimpin yang mesra rakyat dan mampu menyelesaikan isu setempat.

Tinjauan Bernama mendapati pengundi juga mahu pemimpin yang bukan sahaja membawa suara rakyat ke Dewan Undangan Negeri (DUN) malah mempunyai keupayaan menawarkan penyelesaian praktikal terhadap permasalahan dihadapi mereka.

Pesara guru Kamarulzaman Ab Aziz, 64, berkata, keupayaan calon untuk menyantuni dan mendekati penduduk setempat antara faktor utama yang dipertimbangkannya semasa membuat pilihan pada hari pengundian.

“Kita boleh terima calon luar jika mudah didekati dan mesra masyarakat kerana itu lebih penting. Kalau calon itu orang tempatan tetapi susah didekati, ia bukan satu kelebihan,” katanya kepada Bernama di sini.

Peniaga Nurulainee Hamidon, 37, berharap calon dan parti yang memperoleh kepercayaan untuk membentuk kerajaan negeri dapat memberikan perhatian khusus terhadap isu kos sara hidup yang terus menjadi cabaran kepada rakyat. 

“Kenaikan harga barang bukan sahaja membebankan pengguna, tetapi lebih memberi kesan kepada peniaga yang mengalami peningkatan kos semasa membeli bahan mentah, khususnya peniaga kecil-kecilan.

“Sebagai peniaga, susah juga sebab modal semakin tinggi. Apabila peniaga menaikkan harga, pembeli marah. Itu cabaran yang kami lalui,” kata pengusaha kedai makan di Linggi, Port Dickson.

Suri rumah M. Manisha, 38, berharap parti yang menang pada pilihan raya itu tidak akan melupakan masyarakat luar bandar, khususnya mereka yang menetap di estet, dalam merancang dan melaksanakan agenda pembangunan.

Wanita itu berkata, langkah tersebut bagi membolehkan penduduk di luar bandar turut menikmati kemudahan serta peluang pembangunan yang seimbang.

Pelajar kolej Mohammad Najmi Aiman, 22, yang mengundi untuk kali pertama tahun ini berharap peluang pekerjaan yang lebih menyeluruh dengan tawaran gaji setimpal mengikut kelayakan dan kemahiran dapat menjadi keutamaan pihak yang memperoleh mandat rakyat.

Sementara itu, pekerja swasta Lim Kian, 43, dari Port Dickson berharap semua calon daripada setiap parti menunjukkan kematangan sepanjang tempoh berkempen kerana berpandangan persaingan politik perlu berlangsung secara sihat dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi.

“Kita tidak mahu budaya menjatuhkan orang lain dalam jentera atau penyokong mana-mana parti politik kerana jika menang, parti itu yang akan mentadbir negeri. Jadi berkempen dengan aman,” katanya.

Berdasarkan statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebanyak 889,490 pemilih layak mengundi pada PRN kali ini yang terdiri daripada 867,151 pengundi biasa, 16,884 anggota tentera dan pasangan serta 5,455 anggota polis dan pasangan.

Sebanyak 103 calon bertanding merebut 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) PRN Negeri Sembilan ke-16.

SPR menetapkan pengundian awal pada 28 Julai manakala hari mengundi 1 Ogos.

Bagi mendapatkan berita terkini PRN Negeri Sembilan ke-16, layari https://prn.bernama.com/n9.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement