SERI MENANTI: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Seri Menanti, Mohd Kamarul Arifin Mohd Wafa, bertekad menjadikan sektor pelancongan dan pertanian sebagai pemacu ekonomi tempatan bagi menarik golongan muda kembali menetap serta membangunkan kampung halaman mereka.
Beliau berkata, perancangan itu selaras dengan Rancangan Tempatan Daerah Kuala Pilah 2035 yang merangkumi pembangunan Seri Menanti sebagai kawasan pelancongan dan pertanian, sekali gus membuka peluang ekonomi kepada penduduk, khususnya golongan belia.
“Seri Menanti ini nanti akan jadi satu kawasan pelancongan, kemudian ada (aktiviti) pertanian dan sebagainya.
“Peluang ada pada anak-anak muda untuk menghidupkan ruang-ruang dalam bentuk pelancongan tempatan sama ada melalui pertanian, kawasan-kawasan pelancongan, rumah-rumah inap desa,bahkan menawarkan kedai-kedai yang menawarkan makanan-makanan tradisional orang Negeri Sembilan boleh berada di Seri Menanti.
“Sebab itulah saya tengok potensi yang dikatakan Rancangan Tempatan Daerah Kuala Pilah khususnya Seri Menanti 2035 ini perlu kita pertahankan, perlu kita laksanakan kerana ia akan membuat limpahan ekonomi kepada seluruh komuniti di Seri Menanti dan ia juga akan mendapat manfaat oleh golongan muda iaitu mereka boleh mengusahakan sektor pelancongan, pelancongan yang boleh mendatangkan pendapatan bagi mereka, itu yang pertama,” katanya ketika ditemui Astro AWANI, di sini, baru-baru ini.
Menurutnya, sektor pertanian juga boleh menjadi antara faktor utama menarik anak muda berhijrah kembali ke Seri Menanti dan menetap di kampung halaman mereka dengan memanfaatkan kemahiran dalam bidang bercucuk tanam, pertanian serta penanaman buah-buahan.
Katanya, beliau turut melihat potensi produk pertanian tempatan seperti buah longan Brazil yang ditanam di Kampung Buyau untuk dikembangkan sebagai produk pelancongan tempatan yang mampu menjana pendapatan kepada golongan belia.
Selain pembangunan ekonomi, beliau turut melihat potensi Seri Menanti sebagai pusat pemerkasaan Adat Perpatih melalui pendekatan pendidikan yang lebih tersusun kepada generasi muda.
“Ini penting sebab institusi Raja, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan juga bersemayam di sini.
“Sistem itu ada, maka itu pentingnya untuk kita perkasakan semula pendidikan, pengetahuan tentang adat di kalangan anak muda.
“Kalau perlu, saya percaya bahawa diwujudkan satu modul khas bagi pendidikan dan bukan sahaja anak-anak tempatan di Seri Menanti ini boleh belajar, orang-orang lain juga yang berada di Negeri Sembilan ini juga boleh belajar bahkan orang luar daripada Negeri Sembilan juga boleh datang,” tambah beliau.
Mengulas peluang PH di kerusi yang dianggap kubu kuat Barisan Nasional (BN), beliau optimis terdapat momentum perubahan berdasarkan maklum balas yang diterima sepanjang turun padang bertemu masyarakat.
Dalam pertandingan tiga penjuru, Mohd Kamarul berdepan penyandang daripada Barisan Nasional (BN), Muhammad Sufian Maradzi serta calon Bersatu, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.