Skip to main content

Politik

PRN Negeri Sembilan: Manifesto PH pertaruh agenda 'Stabil, Makmur, Inklusif', tawar 10 komitmen utama

SEREMBAN, 20 Julai -- Pengerusi Pakatan Harapan Negeri Sembilan (PH) merangkap Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun bergambar selepas Majlis Peluncuran Manifesto Pakatan Harapan di sebuah hotel, hari ini.  Turut sama Setiausaha Agung DAP Anthony Loke dan Pengerusi Parti Amanah Negara Negeri Sembilan Datuk MK Ibrahim Abd Rahman (tiga, kanan).  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan melancarkan manifesto Pilihanraya Negeri Sembilan ke-16 (PRN16) bertemakan Stabil, Makmur, Inklusif. - Foto BERNAMA

SEREMBAN: Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan melancarkan manifesto Pilihanraya Negeri Sembilan ke-16 (PRN16) bertemakan Stabil, Makmur, Inklusif.

Ia menawarkan 10 komitmen utama yang memberi tumpuan kepada pertumbuhan ekonomi, peluang pekerjaan, kebajikan rakyat, pendidikan, perumahan dan tadbir urus kerajaan.

Menerusi tunjang utamanya yang memfokuskan kerajaan stabil, bersih dan mesra rakyat, PH berkata orang ramai hanya akan berupaya membina keluarga dan menikmati hidup yang lebih selesa apabila suasana politik kita damai bertunjangkan kerajaan yang kukuh.

PH bertekad mengekalkan sebuah kerajaan yang stabil, telus, berwibawa dan bebas rasuah supaya pembangunan dapat diteruskan tanpa gangguan demi kepentingan rakyat.

Seterusnya sebagai usaha memperkasakan Skim Sejahtera Rakyat (SSR), PH umum penambahbaikan kadar bantuan tunai secara one-off dan PH komited menyantuni Anak Negeri Sembilan di setiap fasa kehidupan, daripada kelahiran hingga ke usia emas.

Antaranya melibatkan caruman Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) RM200 untuk bayi baharu lahir, bantuan persekolahan, biasiswa, bantuan sara hidup pelajar IPTA, bantuan kepada ibu tunggal, warga emas, pesakit kanser serta bantuan peralatan ortopedik dan rawatan dialisis.

Selain itu, PH menyebut akan membuka lebih banyak ruang pelaburan, membangunkan industri berteknologi tinggi, dan mewujudkan 30,000 peluang pekerjaan berkualiti supaya rakyat tidak perlu lagi berhijrah jauh untuk mencari rezeki.

Menurut PH, ini kerana masa depan anak-anak Negeri Sembilan mesti dibina dengan asas pekerjaan yang lebih baik, gaji yang lebih bermaruah, dan ekonomi yang lebih kukuh.

Bagi aspek pendidikan, PH komited memastikan setiap anak Negeri Sembilan mendapat peluang pendidikan yang berkualiti, inklusif, dan selari dengan keperluan masa depan dengan membantu pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah dan sederhana malah PH juga akan menambahbaik skim Biasiswa Anak Negeri dan Bantuan Anak Sekolah.

Seterusnya PH menambah, memiliki rumah sendiri adalah impian besar setiap keluarga dan mereka bertekad membina 20,000 unit rumah mampu milik dan membantu lebih ramai rakyat mendapatkan kediaman yang selesa, selamat dan mampu dimiliki.

Pada masa sama, penyelesaian isu tanah akan terus diberi perhatian supaya hak dan masa depan rakyat terjamin, dan meneruskan inisiatif Rumah Harapan.

Manifesto itu juga memberi penekanan kepada pembangunan belia, wanita dan keluarga menerusi Program Kepimpinan Belia (Upaya@N9) dan pemerkasaan wanita melalui program WADANI, dan menyediakan peruntukan khas bagi memperkukuh institusi keluarga serta penubuhan Tabung Usahawan Belia (TUB).

Pada masa sama, PH menekankan kemajuan mesti dinikmati oleh semua rakyat dan bukan hanya tertumpu di bandar besar.

Untuk itu, PH akan melaksanakan Pelan Pelancongan Negeri Sembilan 2030 dan memperkasa Dana Kebudayaan dan Warisan Negeri melalui inisiatif Tourism, Arts and Culture @ Negeri Sembilan (TAC@N9) bagi membangunkan sektor pelancongan dan kebudayaan negeri.

Malah usaha pemerkasaan Adat Perpatih juga diteruskan dengan penganjuran Perpatih Fest dan penyelarasan elaun bagi ketua-ketua adat.

PH juga akan memastikan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri berjalan lancar bagi menjayakan Pelan Pembangunan FELDA di Negeri Sembilan.

Manifesto turut memfokuskan kepada pertanian moden dan keterjaminan makan yang antara lain menyentuh mengenai pemodenan sektor pertanian yang akan dipacu dengan dengan pelaksanaan Pelan Pertanian Pintar Negeri Sembilan dan perluasan Program Petani Muda.

Bagi menyokong usaha ini, PH akan terus memperkemas pengurusan tanah pertanian bagi menggalakkan petani dan pengusaha agromakanan melabur dalam operasi bernilai tinggi.

Bagi aspek infrastruktur strategik dan perkhidmatan kesihatan berkualiti, PH menyenaraikan lima projek berimpak tinggi yang akan dijayakan bersama Kerajaan Persekutuan iaitu Seremban Sentral dan peningkatan kekerapan perkhidmatan komuter Seremban-Kuala Lumpur, pembangunan Hospital Bandar Enstek, Pelabuhan Antarabangsa Port Dickson dan Landasan Bypass Senawang-Port Klang.

Selain itu, PH akan terus memelihara keharmonian masyarakat majmuk, memperkukuhkan syiar Islam sebagai agama Persekutuan, memelihara kebebasan beragama serta memastikan setiap rakyat menikmati manfaat pembangunan secara adil dan saksama.

PH juga akan terus memperkukuhkan syiar Islam dengan memperkasa peranan masjid dan surau sebagai pusat pembangunan umat berteraskan Maqasid Syariah, menambah baik prasarana sekolah menengah agama, meneruskan Dana Hal Ehwal Bukan Islam (HEBI), serta memperkasa Kampung Baru dan Kampung Tradisi di Negeri Sembilan.

Selaras dengan hasrat ini, PH juga akan melaksanakan Program Komuniti Harmoni bagi mengukuhkan perpaduan rakyat yang menjadi kekuatan Negeri Sembilan dan memperkukuhkan Dana Sokongan Perayaan Pelbagai Budaya. 

Must Watch Video

Advertisement