Skip to main content

Politik

PRN Negeri Sembilan: Kemarahan awal jentera BN di Gemas mula ‘kendur’

Ketua UMNO Cawangan Felda Jelai 4, Mohd Shukor Nasir
Mohd Shukor berkata, dakwaan berlaku boikot dalam kalangan jentera BN di kawasan itu tidak berasas, malah kebanyakan ahli di peringkat akar umbi kini memberi tumpuan sepenuhnya kepada gerak kerja pilihan raya. - Gambar Astro AWANI

GEMAS: Naratif kebimbangan terhadap penerimaan akar umbi UMNO susulan kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Gemas dilihat mula berubah apabila kempen memasuki hari keempat, dengan tumpuan kini beralih kepada usaha memperkukuh gerak kerja bagi memastikan kemenangan kerjasama itu.

Ketua UMNO Cawangan Felda Jelai 4, Mohd Shukor Nasir berkata, dakwaan berlaku boikot dalam kalangan jentera BN di kawasan itu tidak berasas, malah kebanyakan ahli di peringkat akar umbi kini memberi tumpuan sepenuhnya kepada gerak kerja pilihan raya.

Menurutnya, reaksi yang timbul pada peringkat awal selepas persefahaman antara BN-PN adalah perkara biasa memandangkan ahli memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan landskap politik baharu.

Bagaimanapun, beliau berkata keadaan kini jauh lebih tenang apabila jentera memahami bahawa keputusan berhubung kerjasama itu dibuat oleh kepimpinan parti demi mencapai matlamat lebih besar.

“Peringkat awal memang saya tak nafikan, tetapi bila dah masuk empat hari(kempen) ni, Alhamdulillah dah mula kendur (kemarahan) dan nampak banyak perubahan.

“Jadi kita selaku orang yang lama, saya ini lama dalam politik, makna saya umpama kasi air sejuk kepada mereka. Saya cuba bantu, untuk masa depan orang Melayu kita,” katanya ketika membantu kempen calon PN DUN Gemas, Ridzuan Ahmad di Felda Jelai 2 pada Selasa

Mengulas lanjut, ujar Ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) Felda Jelai 2 dan 4 itu, keutamaan ketika ini adalah memastikan seluruh jentera bergerak seiring tanpa lagi mempersoalkan keputusan yang telah dibuat, selain memberi fokus kepada usaha mendekati pengundi sepanjang tempoh berkempen.

Dalam pada itu, Ridzuan yang juga penyandang kerusi itu turut mengakui kerjasama yang terjalin bukan sesuatu yang mudah untuk diterima semua pihak pada peringkat awal.

Justeru, beliau mengambil kesempatan memohon maaf sekiranya keputusan persefahaman antara BN dan PN menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan ahli UMNO di peringkat akar umbi.

“Saya hendak minta maaf kepada ahli-ahli UMNO dan saya faham mungkin pada awalnya ada yang sukar menerima keadaan ini.

“Tetapi saya berharap kita dapat ketepikan perbezaan dan bergerak sebagai satu pasukan demi memastikan kemenangan gabungan ini di DUN Gemas,” ujarnya.

Beliau berkata, sambutan yang diterima sepanjang kempen juga menunjukkan hubungan antara jentera kedua-dua parti semakin baik, sekali gus memberi keyakinan bahawa persefahaman itu mampu diterjemahkan di peringkat akar umbi menjelang hari pengundian.

Perkembangan itu dilihat memberi isyarat bahawa kebimbangan awal mengenai penerimaan akar umbi BN terhadap kerjasama dengan PN di DUN Gemas semakin beransur reda, apabila jentera kedua-dua parti kini dilihat bergerak seiring dalam menghadapi saingan PRN Negeri Sembilan.

Ridzuan memenangi kerusi DUN Gemas pada PRN lalu apabila bertanding atas tiket PN sebagai calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Bagaimanapun, beliau baru-baru ini mengumumkan keluar daripada Bersatu dan menyertai Parti Wawasan (WAWASAN) sebelum sekali lagi dipilih mewakili PN bagi mempertahankan kerusi berkenaan pada PRN kali ini.

Pada PRN lalu, Ridzuan memperoleh 11,653 undi menewaskan calon BN, Abd. Razak Ab. Said dengan majoriti 3,120 undi.

Pada PRN kali ini, Ridzuan akan dicabar calon Bersatu, Azman Abdullah dan calon Pakatan Harapan (PH), Siti Aishah Seman @ Othman.

Must Watch Video

Advertisement