JELEBU: Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias mengakui Barisan Nasional (BN) sukar membentuk kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) sekiranya tidak menjalinkan persefahaman dengan Perikatan Nasional (PN).
Menurut calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Pertang itu, kerjasama antara kedua-dua gabungan politik berkenaan bukan sahaja bertujuan mengelakkan pertembungan sesama sendiri, malah memastikan undi Melayu tidak terus berpecah.
Beliau berkata, realiti politik di Negeri Sembilan ketika ini memerlukan penyatuan itu sekiranya BN dan PN mahu menamatkan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) di negeri berkenaan.
“Kalau pakatan ini tak ada persefahaman dan kita terus bergaduh sesama sendiri, kita tak akan dapat kalahkan Pakatan Harapan.
“BN tak akan dapat tubuh kerajaan negeri tanpa kerjasama dengan Perikatan Nasional kerana undi kita akan berpecah,” katanya ketika berucap pada Ceramah Umum di Felcra Lakai, Jelebu, malam tadi.
Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu berkata, persefahaman antara BN dan PN merupakan gambaran besar untuk masa depan politik negara serta langkah strategik bagi menyatukan kekuatan orang Melayu.
Katanya, menerusi kerjasama itu, BN bertanding di 25 kerusi manakala PN di 11 kerusi, sekali gus mengelakkan pertandingan sesama sendiri di semua 36 kerusi DUN.
Beliau turut mengarahkan penyokong BN supaya memberikan sokongan penuh kepada calon PN di kerusi yang ditandingi gabungan itu, manakala penyokong Pas dan PN pula diminta melakukan perkara sama terhadap calon BN.
“Saya cakap secara terbuka, penyokong dan pendukung BN wajib beri sokongan dan undi kepada calon Perikatan Nasional di kerusi mereka bertanding.
“Begitu juga penyokong Pas dan Perikatan Nasional, wajib beri sokongan kepada calon BN. Barulah penyatuan dan ikatan ini kukuh,” katanya.
Mengulas kerjasama terdahulu antara UMNO dan PH, Jalaluddin mengakui gabungan itu memberi kesan kepada sokongan pengundi Melayu sehingga menyebabkan majoriti kemenangan BN merosot pada pilihan raya lalu.
Menurutnya, pengalaman itu menjadi antara faktor utama UMNO Negeri Sembilan mengambil pendirian untuk tidak lagi bekerjasama dengan PH dalam PRN kali ini.
Beliau turut mendakwa PH sudah mempunyai kelebihan di 13 kerusi yang majoritinya melibatkan kawasan bukan Melayu, menyebabkan BN dan PN memerlukan kerjasama rapat untuk memperoleh baki kerusi bagi membentuk kerajaan negeri.
Katanya, sekiranya persefahaman itu diterjemahkan melalui sokongan pengundi pada 1 Ogos nanti, beliau yakin gabungan BN-PN berpeluang mencipta sejarah mengambil alih pentadbiran Negeri Sembilan.