Skip to main content

Malaysia

Geng Vinod tumpas, 11 anggota ditahan dan didakwa esok

Kuala Lumpur , 18 Mac 2026. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ),  Datuk M. Kumar S. Muthuvelu pada sidang media berkenaan kejayaan OP Lejang Mewah Klon : Jenayah Curi dan Klon Identiti Kenderaan di 6 Buah Negeri di Pulapol.Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Kumar berkata kumpulan itu yang aktif sejak 2023 diketuai seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun dan mempunyai 17 anggota terdiri daripada penjenayah berulang. - Gambar fail/Astro AWANI

KUALA LUMPUR: Polis percaya berjaya menumpaskan kumpulan jenayah terancang Geng Vinod yang aktif melakukan jenayah kekerasan di sekitar Selangor dengan penahanan 11 anggotanya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk M. Kumar berkata kesemua lelaki berusia antara 21 hingga 34 tahun itu ditahan menerusi operasi khas ‘Ops Rapido’ yang dijalankan pada 23 dan 24 Jun lepas.

Beliau berkata kumpulan itu yang aktif sejak 2023 diketuai seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun dan mempunyai 17 anggota terdiri daripada penjenayah berulang.

"Kita telah mengenal pasti identiti lima lagi ahli kumpulan berkenaan yang masih bebas dan usaha mengesan mereka sedang giat dijalankan.

“Tangkapan yang dilakukan ini membantu menyelesaikan 21 kes serta melumpuhkan satu sindiket rompakan berkumpulan bersenjata di Selangor,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kumar berkata kesemua 11 suspek kini direman mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Sepang, Selangor pada 9.30 pagi esok.

"Kertas siasatan jenayah terancang telah dirujuk kepada Unit Jenayah Berat (UJB), Jabatan Peguam Negara pada 17 Julai lepas dan menerima arahan pertuduhan mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan," katanya.

Modus operandi kumpulan itu, katanya adalah melakukan samun bersenjatakan parang atau senjata tajam dengan menyasarkan premis kediaman bagi mendapatkan keuntungan material, kuasa atau pengaruh.

"Mereka terlibat dalam pelbagai kes jenayah kekerasan seperti rompakan berkumpulan, cubaan membunuh, merusuh dengan senjata, menyebabkan kecederaan menggunakan senjata serta khianat," katanya.

Selain itu katanya, kesemua suspek turut mempunyai pelbagai rekod kesalahan lampau termasuk pecah rumah, ugutan jenayah, pemerasan serta kesalahan berkaitan pengedaran dadah.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement