AMMAN: Jordan dan kumpulan pejuang Hamas mengutuk keras tindakan Menteri Keselamatan Negara Israel, Itamar Ben-Gvir bersama lebih 2,000 peneroka haram Israel memasuki pekarangan Masjid Al-Aqsa di Baitulmuqaddis hari ini.
Jurucakap Kementerian Luar Jordan, Duta Besar Fouad Majali berkata tindakan itu mencabuli status quo sejarah serta undang-undang antarabangsa yang terpakai ke atas kawasan suci berkenaan.
Menurut beliau, Amman menggesa masyarakat antarabangsa meningkatkan tekanan terhadap Israel supaya menghentikan pelanggaran berterusan terhadap tapak suci umat Islam dan Kristian di Baitulmuqaddis.
Sementara itu, kumpulan pejuang Hamas berkata tindakan yang disifatkannya sebagai provokasi itu tidak akan melemahkan semangat rakyat Palestin untuk mempertahankan hak serta tanah air mereka.
Hamas menegaskan bahawa pejuang dan rakyat Palestin tidak akan berdiam diri terhadap sebarang cubaan mencemarkan kesucian Masjid Al-Aqsa.
Kumpulan itu turut mendakwa tindakan berkenaan hanya akan meningkatkan penentangan rakyat Palestin terhadap pendudukan Israel.