MEXICO CITY: Datuk Bandar Temoac, Valentín Lavín Romero maut selepas ditembak sekumpulan lelaki bersenjata di dalam bangunan dewan bandaran di negeri Morelos pada Rabu.
Pejabat Pendakwa Raya Negeri Morelos mengesahkan pasukan forensik dan polis menemukan mayat mangsa di dalam fasiliti kerajaan tempatan tersebut.
Menurut laporan media tempatan, dua lelaki bersenjata dipercayai memasuki bangunan berkenaan sebelum melepaskan tembakan ke arah Lavín dan melarikan diri.
Beberapa laporan menyebut suspek meloloskan diri dengan menaiki motosikal.
Lavín, yang merupakan sekutu politik kepada kem pimpinan Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum, dilaporkan pernah terselamat daripada satu cubaan bunuh pada Januari lalu.
Bagaimanapun, pihak berkuasa masih belum mendedahkan motif serangan atau mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab.
Satu operasi keselamatan telah dilancarkan di Temoac dan kawasan sekitarnya bagi mengesan suspek yang terlibat dalam pembunuhan itu.
Kematian beliau menjadikan Lavín sebagai datuk bandar ketiga yang dibunuh di Mexico sepanjang tahun ini, sekali gus mencetuskan kebimbangan baharu mengenai keselamatan pegawai awam di negara berkenaan.
Serangan terhadap pegawai kerajaan tempatan sering dikaitkan dengan persaingan kumpulan kartel dadah yang berebut pengaruh dan kawasan operasi di Mexico.