Skip to main content

Politik

PRN Negeri Sembilan: Berjasa tanding DUN Nilai, beri pilihan calon Melayu

Sumber: Astro AWANI
Berjasa memutuskan untuk bertanding di DUN Nilai bagi menawarkan calon Muslim yang disifatkan berwibawa kepada pengundi.

PUCHONG: Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nilai pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 bagi memberikan pilihan kepada pengundi Melayu Islam di kawasan berkenaan.

Presidennya, Zamani Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat selepas parti berkenaan mengikuti perkembangan pengumuman calon oleh parti-parti yang bertanding serta mengambil kira hasil kajian dalaman.

Menurut beliau, kajian sebelum ini mendapati antara faktor yang menyumbang kepada peratusan keluar mengundi rendah dalam kalangan pengundi Melayu ialah ketiadaan calon Melayu di kawasan majoriti Melayu.

“Berjasa hadir mendengar dan memahami isi hati serta hasrat pengundi Melayu Islam di Negeri Sembilan dalam suasana politik tanah air yang penuh cabaran hari ini,” katanya menerusi satu kenyataan media pada Jumaat.

Katanya lagi, atas dasar prinsip dan bagi memeriahkan sistem demokrasi negara, Berjasa memutuskan untuk bertanding di DUN Nilai bagi menawarkan calon Muslim yang disifatkan berwibawa kepada pengundi.

Menurut Zamani, Nilai dipilih kerana menjadi antara kawasan permulaan yang sesuai untuk meletakkan calon Melayu di kawasan majoriti Melayu.

Menurutnya, senario semasa yang menyaksikan semua calon parti lain yang diumumkan di Nilai bukan Melayu turut menjadi pertimbangan kepada keputusan tersebut.

Pada masa sama, beliau menegaskan Berjasa kekal komited terhadap agenda penyatuan Melayu dan tidak akan meletakkan calon di kawasan majoriti Melayu yang sudah mempunyai calon Melayu daripada Barisan Nasional (BN), Pas dan Wawasan.

Kerusi DUN Nilai disandang Arul Kumar Jambunathan daripada PH-DAP yang menang dengan majoriti 10,889 undi pada PRN Negeri Sembilan 2023.

Beliau menewaskan pencabar daripada Perikatan Nasional (PN) iaitu Gan Chee Biow yang memperoleh 8,244 undi.

Bagi PRN kali ini, Arul Kumar akan mempertahankan kubunya, manakala BN meletakkan calon MCA iaitu Lai Chien Kong.

Must Watch Video

Advertisement