Skip to main content

Politik

PRN Johor: MIC yakin terus raih sokongan masyarakat India

51697987675_SAVigneswaran.jpg
Vigneswaran berkata sejak Anwar menjadi Perdana Menteri pada 2023, kerajaan telah menyalurkan geran RM25 juta setiap tahun kepada universiti berkenaan termasuk tahun ini. - Gambar fail

KULAI: Presiden MIC Tan Sri S.A. Vigneswaran yakin masyarakat India akan terus memberikan sokongan kepada calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 esok khususnya di kerusi yang ditandingi parti itu.

Beliau berkata keyakinan itu berdasarkan hubungan baik MIC dengan Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dalam membawa serta menyelesaikan pelbagai isu yang melibatkan masyarakat India.

“Di peringkat negeri, kita memerlukan wakil rakyat yang boleh bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk memastikan masalah rakyat dapat diselesaikan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Vigneswaran berkata sepanjang kempen, MIC mengambil pendekatan matang dengan mengelakkan serangan peribadi terhadap lawan politik selain memberi tumpuan kepada usaha menawarkan penyelesaian terhadap masalah rakyat

PRN Johor kali ini menyaksikan empat calon mewakili MIC iaitu K. Raven Kumar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemelah, V. Rugendran (Kahang), P. Pannir Selvam (Perling) dan R. Kumaran (Bukit Batu).

Dalam perkembangan lain, Vigneswaran menafikan dakwaan sebuah portal Tamil bahawa MIC menerima dana kerajaan berjumlah RM221 juta, dan menyifatkan laporan itu sebagai tidak tepat serta mengelirukan.

Beliau berkata bantuan yang diterima ialah geran tahunan kepada Universiti AIMST, sebuah institusi pendidikan tinggi bukan berasaskan keuntungan yang dimiliki yayasan bagi tujuan penyelenggaraan kemudahan dan mengurangkan kos operasi universiti.

Vigneswaran juga berkata sejak Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri pada 2023, kerajaan telah menyalurkan geran RM25 juta setiap tahun kepada universiti berkenaan termasuk tahun ini.

“Semua peruntukan ini diaudit dan digunakan untuk tujuan seperti kerja-kerja naik taraf asrama, pemasangan sistem solar serta mengurangkan kos operasi universiti supaya yuran dan beban kewangan pelajar dapat dikekalkan pada kadar lebih rendah,” katanya.

Beliau berkata peguam MIC telah diarahkan mengeluarkan notis tuntutan kepada portal terbabit supaya membetulkan laporan berkenaan dan menarik balik dakwaan yang disifatkannya sebagai fitnah.

-- BERNAMA 

Must Watch Video

Advertisement