Skip to main content

Dunia

'Reka bentuk ketagihan' Instagram, Facebook langgar peraturan digital - EU

61453041693_Smartphone.jpg
Suruhanjaya Eropah mendapati Meta tidak menilai dengan secukupnya risiko reka bentuk ketagihannya terhadap kesejahteraan fizikal dan mental pengguna. - Gambar hiasan

BRUSSELS: Instagram dan Facebook milik Meta melanggar Akta Perkhidmatan Digital (DSA) Kesatuan Eropah (EU) berikutan ciri "reka bentuk ketagihan" yang menimbulkan risiko kepada kanak-kanak dan golongan muda, menurut Suruhanjaya Eropah pada Jumaat berdasarkan dapatan awal siasatannya, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Siasatan suruhanjaya itu memfokuskan kepada beberapa ciri pada platform media sosial yang popular itu, termasuk tatalan tanpa henti, autoplay, push notifications serta sistem cadangan kandungan yang "sangat diperibadikan".

"Suruhanjaya mendapati yang Meta tidak menilai dengan secukupnya risiko reka bentuk ketagihannya terhadap kesejahteraan fizikal dan mental pengguna, termasuk kanak-kanak bawah umur dan golongan dewasa yang rentan," menurut kenyataan media suruhanjaya itu.

"Meta mengabaikan maklumat yang tersedia mengenai tempoh masa yang dihabiskan oleh kanak-kanak bawah umur menggunakan Instagram atau Facebook pada waktu malam," menurut kenyataan itu, sambil menjelaskan yang keadaan itu boleh membawa kepada "penggunaan perkhidmatan secara berlebihan atau kompulsif".

Gergasi media sosial Amerika Syarikat itu kini diberi peluang untuk memberikan maklum balas. Jika gagal menolak dakwaan berkenaan atau membuat perubahan yang diperlukan, Suruhanjaya Eropah boleh mengenakan denda sehingga enam peratus daripada jumlah perolehan tahunan globalnya. Bagi Meta, jumlah itu boleh mencecah lebih €12 bilion (AS$13.7 bilion).

Di tengah-tengah perdebatan yang semakin memuncak di seluruh Eropah mengenai penetapan had umur minimum bagi penggunaan media sosial, pihak berkuasa yang berpangkalan di Brussels itu sekali lagi menerbitkan dapatan siasatannya, sekali gus meningkatkan tekanan terhadap platform dalam talian dan mengukuhkan usaha EU untuk melaksanakan peraturan yang lebih ketat.

-- BERNAMA-dpa

Must Watch Video

Advertisement