KUALA LUMPUR: Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bukan sahaja bakal menentukan landskap politik negeri itu, malah dijangka mencerminkan sentimen rakyat terhadap prestasi Kerajaan Perpaduan yang melibatkan kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).
Pengarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Madya Dr. Mazlan Ali berkata, Johor merupakan negeri unik kerana mempunyai tahap pembangunan, urbanisasi dan komposisi demografi hampir menyamai Lembah Klang.
"Ini sekali gus menjadikan keputusan pilihan raya negeri itu sentiasa mendapat perhatian bukan sahaja di dalam negara, malah di peringkat antarabangsa.
“Orang yang akan mengundi nanti bukan hanya melihat prestasi negeri Johor. Mereka juga akan membuat perbandingan prestasi dengan peringkat Persekutuan.
"Maka prestasi di peringkat Persekutuan itu akan menjadi justifikasi untuk diterjemahkan oleh pengundi dalam PRN Johor,” katanya semasa program Agenda AWANI, di sini, pada Selasa.
Dalam pada itu Mazlan berkata, beberapa petunjuk ekonomi seperti peningkatan pelaburan asing serta pengukuhan nilai ringgit turut menjadi antara faktor bakal dinilai pengundi dalam menentukan sokongan mereka terhadap parti yang bertanding.
Pada masa sama, beliau mengingatkan UMNO dan BN supaya tidak memandang ringan peningkatan sokongan yang pernah diraih PH pada Pilihan Raya Umum (PRU) tahun 2022, khususnya dari segi undi popular.
"Pada PRU akhir tahun 2022 lalu, peningkatan undi PH daripada 350,000 undi popular kepada 830,000 undi popular. Ini adalah sesuatu yang perlu diberikan perhatian oleh UMNO-BN," jelasnya.
Beliau turut menjangkakan persaingan sengit antara BN dan PH sekiranya peratusan keluar mengundi mencecah sekitar 80 peratus, terutama jika pengundi luar berjaya dimobilisasikan untuk pulang mengundi.
“Demikian itu, isu dan prestasi nasional akan diterjemahkan dalam PRN Johor. Keputusan pada 11 Julai nanti boleh dikatakan sebagai satu referendum rakyat terhadap kerajaan di peringkat nasional.
"Ia akan mencerminkan hala tuju politik dan mungkin mencorakkan PRU ke-16 kelak,” katanya.