Skip to main content

Malaysia

Isu tular guna gajah di majlis, Perhilitan kaji undang-undang, tambah baik SOP

Abdul Kadir
Abdul Kadir berkata, Perhilitan kekal komited dalam memelihara khazanah hidupan liar negara dan melaksanakan penambahbaikan secara berterusan berdasarkan maklum balas yang diterima. - Sinar Harian

PUTRAJAYA: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) akan menubuhkan pasukan petugas khas bagi mengkaji dan menambah baik undang-undang serta prosedur operasi standard (SOP) perarakan gajah dengan pemegang taruh, susulan maklum balas awam berhubung video tular penggunaan haiwan itu dalam satu majlis di Pasir Tumboh, Kelantan.

Ketua Pengarah Perhilitan Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata perkara itu juga akan dirujuk kepada Unit Integriti Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dan Bahagian Penyiasatan Tatakelola, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu memperkemaskan prosedur sedia ada secara menyeluruh dan tuntas.

"Jabatan ini memang mempunyai SOP Pengendalian Program Perarakan Gajah bertarikh 31 Dis 2016 dan pada 25 Mei lepas, Perhilitan telah menerima permohonan pameran gajah dan hidupan liar sempena Program Komuniti MADANI di Kampung Pasir Tumboh, Kota Bharu, Kelantan daripada Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kelantan. 

"Sehubungan itu, Mesyuarat Jawatankuasa Permohonan Permit Khas yang bersidang pada 16 Jun lepas telah meneliti dan meluluskan permohonan tersebut berdasarkan SOP yang telah ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pemeriksaan kesihatan gajah dan penentuan gajah yang dibawa juga telah dilaksanakan oleh Perhilitan dengan mematuhi SOP yang ditetapkan, manakala penilaian kebajikan gajah telah dijalankan sebelum, semasa dan selepas program. 

Abdul Kadir berkata sebagai jabatan yang telah dipertanggungjawabkan untuk memberi perlindungan dan pemuliharaan hidupan liar, Perhilitan kekal komited dalam memelihara khazanah hidupan liar negara dan melaksanakan penambahbaikan secara berterusan berdasarkan maklum balas yang diterima.

"Sehubungan itu, orang awam digesa untuk bersama-sama memainkan peranan menyebarkan maklumat yang sahih dan tepat sahaja bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat," katanya.

Sebarang aduan boleh disalurkan melalui talian hotline 1-800-88-5151 atau melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPA) di laman sesawang rasmi www.wildlife.gov.my.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement