Skip to main content

Politik

PRN Johor: Asyraf Wajdi ucap 'selamat maju jaya' kepada Puad

Sumber: BERNAMA
Asyraf Wajdi, mengucapkan "selamat maju jaya" kepada Mohd Puad selepas bekas ahli MKT UMNO itu menyatakan sokongan kepada calon Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Negeri Johor. - Gambar Bernama

KLUANG: Datuk Asyraf Wajdi Dusuki mengucapkan "selamat maju jaya" kepada bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Puad Zarkashi susulan tindakannya menyatakan sokongan kepada calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Setiausaha Agung UMNO itu sebaliknya menegaskan, Barisan Nasional (BN) tidak mahu terheret dengan polemik politik, sebaliknya akan terus memberi tumpuan kepada tawaran yang dibawa kepada rakyat sepanjang tempoh berkempen.

"Selamat maju jaya. Yang paling penting bagi penyokong Barisan Nasional, kita fokus.

"Kita tidak akan terbawa-bawa dengan mainan politik murahan. Kita hanya fokus kepada menawarkan apa yang kita hendak lakukan dan laksanakan sekiranya diberikan mandat oleh rakyat," katanya kepada Astro AWANI.

Menurut Asyraf Wajdi, BN mahu mengetengahkan pelan ekonomi yang digagaskan gabungan itu serta memastikan agenda Maju Johor 2026-2030 dapat dilaksanakan sekiranya terus diberi mandat mentadbir negeri.

"Kita dah arahkan supaya semua jentera Barisan Nasional tak perlu menyerang peribadi, jangan memaki hamun, fokus kepada tawaran kepada rakyat. Itu saja," katanya.

Puad sebelum ini memuat naik poster kempen di Facebook yang menyatakan sokongannya kepada calon PH bagi DUN Rengit, Mohamad Yazid Bakri.

Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri Johor itu turut menjelaskan beliau membuat pilihan berdasarkan peribadi calon dan bukan lagi atas faktor parti, selepas mengumumkan keluar daripada UMNO pada 25 Jun lalu.

Must Watch Video

Advertisement