KUALA LUMPUR: Sebuah filem terbitan dunia Arab berjudul Mr VIP yang menemukan dua bintang sensasi terkenal, Karim Abdel Aziz dan jelitawan popular Yasmine Sabri, dilapor sedang menjalani penggambaran di Malaysia.
Mengangkat Kuala Lumpur sebagai antara lokasi utama penggambaran, filem terbitan Synergy Plus, antara nama besar dalam industri perfileman Arab, itu turut direalisasikan menerusi kerjasama Infinity Films yang diterajui Abdulrahman Suud.
Filem arahan Mootaaz El Tomy itu mendapat sokongan Kerajaan Malaysia menerusi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), selain beberapa agensi berkaitan termasuk Agensi Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Abdulrahman, yang telah menetap di Malaysia sejak kecil dan pernah terbabit dalam industri seni tempatan, berkata beliau berbangga dapat membawa nama Malaysia ke persada industri perfileman Asia Barat.
“Boleh dikatakan lebih 40 peratus penggambaran filem ini dilakukan di Malaysia. Selepas selesai penggambaran di sini, proses pascaproduksi juga akan dilaksanakan di Malaysia.
“Sepanjang tempoh penggambaran, kedua-dua syarikat produksi berusaha menonjolkan keindahan Malaysia, sekali gus mempromosikan sektor pelancongan negara serta memaparkan keunikan rakyat dan budaya tempatan.
“Kami amat menghargai sokongan MOTAC yang membantu memastikan kelancaran projek berskala besar ini.
"Malaysia dan Mesir juga telah sekian lama menikmati hubungan diplomatik yang erat, dan perkara itu mendorong kami memilih Malaysia sebagai lokasi utama sebagai simbol hubungan baik antara kedua-dua negara,” katanya yang turut berperanan sebagai penerbit eksekutif filem berkenaan.
Beliau berkata Synergy Plus dan Infinity Films turut bercita-cita memperluaskan kerjasama industri perfileman antara Malaysia dan negara Arab pada masa depan.
“Selepas ini, kami berharap lebih banyak syarikat produksi filem dan televisyen dari dunia Arab memilih Malaysia sebagai lokasi utama penggambaran. Kami mahu hubungan kerjasama ini dapat diteruskan dan diperkukuhkan.
“Apa yang saya lakukan ini juga didorong oleh kecintaan saya terhadap Malaysia. Negara ini sangat dekat di hati saya dan menjadi sebahagian daripada kehidupan saya.
“Saya tiba di Malaysia ketika berusia lapan tahun selepas ibu bapa saya menerima tawaran bekerja di Kuala Lumpur pada 1992.
"Saya membesar, bersekolah dan membina kerjaya di sini. Setiap kali meninggalkan Malaysia, saya sentiasa tidak sabar untuk kembali,” katanya.
Mengulas mengenai pendekatan penggambaran yang dijalankan secara tertutup, Abdulrahman berkata langkah itu dibuat atas permintaan pihak produksi dan faktor keselamatan memandangkan populariti tinggi pelakon utama filem tersebut.
“Prosedur kerja produksi ini memang agak ketat, terutama kerana Karim Abdel Aziz dianggap antara bintang paling berpengaruh dan paling laris di Mesir.
“Beliau mampu menarik kehadiran peminat ke pawagam dan merupakan antara pelakon dengan bayaran tertinggi di sana. Justeru, sebarang gambar atau rakaman di lokasi penggambaran tidak dibenarkan dikongsi secara bebas,” katanya.
Menurut Abdulrahman, penggambaran Mr VIP di Malaysia melibatkan kira-kira 220 kru tempatan serta 33 kru dan artis dari Mesir.
Beliau berkata filem bercorak komedi sosial itu menampilkan Karim dan Yasmine sebagai pasangan suami isteri, sekali gus menandakan kerjasama kedua mereka dalam sebuah produksi.