TAWAU: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerima sebanyak 1,232 aduan berkaitan kandungan dalam talian, termasuk penipuan dan buli siber daripada penduduk di pantai timur Sabah dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata jumlah itu adalah sebahagian daripada 3,875 aduan keseluruhan yang diterima oleh MCMC di kawasan berkenaan sehingga Jun lepas.
"Kategori aduan itu yang kedua tertinggi selepas aduan berkaitan rangkaian Internet. Statistik ini menunjukkan bahawa usaha memperkukuh literasi digital dan meningkatkan kesedaran masyarakat perlu terus diperkasakan agar lebih ramai pengguna mampu melindungi diri dan keluarga daripada ancaman dalam talian.
"Saya menyambut baik pendekatan MCMC yang membawa Kempen Internet Selamat lebih dekat dengan masyarakat melalui karnival seperti ini di Batu Payung, Tawau," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan perasmian Karnival Kempen Internet Selamat, di sini hari ini.
Beliau berkata masyarakat perlu lebih berhati-hati ketika berurusan dalam talian, khususnya apabila menerima tawaran meragukan atau diminta berkongsi maklumat peribadi.
"Jangan mudah terperdaya dengan tawaran yang terlalu baik untuk dipercayai, jangan sesekali berkongsi maklumat peribadi sewenang-wenangnya, dan laporkan segera kepada pihak berkuasa sekiranya menjadi mangsa atau mengesan sebarang aktiviti yang mencurigakan," katanya.
Nizam berkata karnival itu turut memberikan peluang kepada masyarakat mendapatkan maklumat secara langsung mengenai keselamatan Internet menerusi reruai pameran pelbagai agensi, termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Polis Diraja Malaysia, selain Jualan Rahmah.
-- BERNAMA