Skip to main content

Dunia

Thailand lancar platform banteras penipuan siber, pemerdagangan manusia

51746771756_TBscam.jpg
Tatchai berkata kelewatan perkongsian maklumat antara pihak berkuasa sering melambatkan siasatan, tangkapan dan usaha menyelamatkan mangsa. - Gambar hiasan

BANGKOK: Dialog Operasi Antarabangsa Mengenai Pembanterasan Penipuan Siber dan Jenayah Paksaan berakhir di sini pada Jumaat dengan pelancaran platform perkongsian maklumat yang dibangunkan Thailand bagi membanteras rangkaian rentas sempadan penipuan siber dan pemerdagangan manusia, lapor Xinhua.

Berucap pada majlis penutupan, Timbalan Pesuruhjaya Jeneral Polis Diraja Thailand merangkap Pengarah Pusat Antipemerdagangan Manusia, Tatchai Pitaneelaboot berkata kelewatan perkongsian maklumat antara pihak berkuasa sering melambatkan siasatan, tangkapan dan usaha menyelamatkan mangsa.

"Bagi menangani cabaran ini, kerajaan Thailand telah membangunkan aplikasi web berpusat yang membolehkan negara peserta bertukar data secara selamat dan cekap," katanya kepada perwakilan negara rakan serta organisasi antarabangsa.

Beliau berkata Sistem Pertukaran Maklumat dan Pangkalan Data Bersepadu Penipuan Siber dan Pemerdagangan Manusia (SHIELD) yang baharu dilancarkan menjadi teras kerjasama itu dengan mengintegrasikan komunikasi rentas sempadan, rekod transaksi perbankan dan data pergerakan bagi mengenal pasti serta melumpuhkan sindiket penipuan global yang kompleks.

Tatchai berkata kekuatan kerjasama itu terletak pada perkongsian risikan yang boleh diambil tindakan secara masa nyata serta pelaksanaan operasi yang pantas.

"Dalam usaha ini, tindakan pantas adalah segala-galanya. Setiap minit yang dapat dijimatkan bermakna satu nyawa dapat dilindungi," katanya.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Sosial dan Keselamatan Manusia Thailand Nikorn Soemklang berkata negara itu bersedia bekerjasama dengan rakan yang dipercayai, dengan harapan komitmen bersama itu dapat diterjemahkan kepada tindakan konkrit menerusi rangka kerja perundangan yang lebih kukuh, kerjasama antarabangsa yang lebih erat, penguatkuasaan undang-undang yang berkesan serta perlindungan bermakna kepada mangsa.

-- BERNAMA-XINHUA

Must Watch Video

Advertisement