Skip to main content

Malaysia

Kes memandu melulu meningkat hampir 50 peratus dalam tempoh enam bulan

KUALA LUMPUR, 1 Julai -- Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali, bercakap pada sidang media mengenai kejayaan JSPT dalam operasi bersepadu menangani pemandu kenderaan perdagangan di bawah pengaruh dadah bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dan Agensi Antidadah Kebangsaan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Muhammed Hasbullah berkata kesalahan memandu secara melulu dan membahayakan di bawah Seksyen 42 APJ 1987 memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun serta denda antara RM5,000 hingga RM15,000 jika sabit kesalahan. - Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Kes memandu secara melulu dan membahayakan merekodkan peningkatan hampir 50 peratus dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lepas.

Peningkatan itu menunjukkan trend pemanduan agresif yang semakin membimbangkan serta berpotensi mencetuskan insiden buli jalan raya atau 'road rage’.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali berkata sebanyak 1,278 kertas siasatan dibuka bagi tempoh 1 Jan hingga 28 Jun tahun ini berbanding 852 dalam tempoh sama tahun lalu, iaitu peningkatan sebanyak 426 kes.

Beliau berkata Johor merekodkan jumlah kertas siasatan tertinggi tahun ini dengan 354 kes, diikuti Kuala Lumpur (230), Selangor (200), Negeri Sembilan (119), Kelantan (84), Perak (60), Terengganu (49), Sarawak (44), Melaka (37), Kedah (33), Pulau Pinang (27), Pahang (24), Sabah (15) dan Perlis (dua).

“Berbanding tempoh sama tahun lepas, Johor turut mencatat peningkatan tertinggi sebanyak 175 kes, diikuti Selangor (+117), Kuala Lumpur (+74), Negeri Sembilan (+56), Terengganu (+26), Perak (+20), Sarawak (+11), Kedah (+8) dan Pahang (+3), manakala Kelantan kekal dengan 84 kes.

“Pulau Pinang, Sabah, Perlis dan Melaka pula merekodkan penurunan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Muhammed Hasbullah berkata antara faktor utama yang dikenal pasti mencetuskan insiden buli jalan raya ialah kegagalan mematuhi peraturan serta isyarat lalu lintas, selain pemanduan agresif dan tidak bertimbang rasa seperti memotong secara berbahaya, mencelah, mengekor rapat (tailgating) dan tidak memberi laluan.

“Selain itu, provokasi antara pengguna jalan raya melalui penggunaan hon secara berlebihan, isyarat tangan, pertikaman lidah, sikap tidak sabar serta kurangnya budaya bertolak ansur di jalan raya turut menjadi punca,” katanya.

Mengulas dakwaan di media sosial mengenai segelintir pemandu menggunakan vape mengandungi dadah ketika memandu sebagai faktor penyumbang kepada insiden buli jalan raya, beliau berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengakui wujud trend penyalahgunaan vape yang dicampur bahan psikoaktif atau dadah sintetik.

Katanya PDRM sedang memperkukuh usaha penguatkuasaan termasuk mencadangkan penggunaan kit ujian air liur selain mewajibkan pengambilan sampel air kencing bagi pemandu kenderaan perdagangan yang terbabit dalam kemalangan jalan raya bagi mengesan individu yang memandu di bawah pengaruh bahan terlarang.

Sehubungan itu, beliau berkata PDRM akan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang terbabit dalam insiden ‘road rage’ dan mereka boleh ditahan, disiasat serta didakwa di mahkamah sekiranya kes membabitkan ugutan, pergaduhan, kerosakan harta benda atau kecederaan.

Beliau berkata kesalahan memandu secara melulu dan membahayakan di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun serta denda antara RM5,000 hingga RM15,000 jika sabit kesalahan.

“Setakat ini, undang-undang sedia ada memadai untuk menangani isu 'road rage’. Selain peruntukan di bawah APJ 1987, JSPT juga akan mengambil tindakan mengikut Kanun Keseksaan berdasarkan kesalahan yang dilakukan.

“Antara peruntukan yang boleh digunakan ialah Seksyen 323 kerana menyebabkan kecederaan, Seksyen 324 atau 326 bagi kesalahan menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau benda berbahaya, Seksyen 341 kerana menghalang seseorang secara salah, Seksyen 427 bagi kesalahan khianat atau merosakkan harta benda, serta Seksyen 506 membabitkan ugutan jenayah,” katanya.

Mengulas mengenai video tular berkaitan 'road rage’, beliau berkata tindakan pantas PDRM terhadap rakaman sedemikian penting bagi menunjukkan setiap aduan dan maklumat yang diterima diberi perhatian serius, sekali gus meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap kecekapan serta ketelusan pasukan polis.

“Bagaimanapun, video tular hanyalah salah satu bentuk maklumat awal dan setiap kes akan disiasat dengan mengambil kira semua keterangan termasuk rakaman kamera litar tertutup (CCTV), kamera papan pemuka (dashcam), kenyataan saksi serta bukti forensik digital sebelum sebarang tindakan undang-undang diambil,” katanya.

Beliau menegaskan tindakan penguatkuasaan yang cepat dan konsisten mampu memberi kesan pencegahan kerana masyarakat akan melihat setiap kesalahan boleh dikesan dan dikenakan tindakan undang-undang.

Pada masa sama, katanya PDRM menggalakkan masyarakat menjadi rakan strategik dengan menyalurkan rakaman dashcam atau CCTV sekiranya menyaksikan sebarang pelanggaran undang-undang.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement