SIMPANG RENGGAM: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan kerajaan akan meningkatkan kadar Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sekiranya kerajaan Persekutuan kekal stabil dan Pakatan Harapan (PH) terus mendapat mandat daripada rakyat.
Beliau berkata, kerajaan mempunyai kemampuan untuk menambah bantuan itu kerana pengurusan kewangan negara dilaksanakan secara telus dan berhemah.
“Dan kalau kerajaan ini stabil, rakyat sokong, Pakatan Harapan kuat, kita akan tambah SARA lagi bagi rakyat,” katanya ketika berucap pada Ceramah Grand Finale PH di Simpang Renggam, pada Jumaat.
Menurut Anwar, inisiatif seperti SARA penting bagi membantu golongan berpendapatan rendah mendapatkan barangan keperluan harian, terutama ketika kos sara hidup masih menjadi cabaran.
Beliau berkata, kerajaan bertanggungjawab memastikan rakyat yang memerlukan terus dibantu dan tidak dibebankan dengan tekanan ekonomi.
“Saya dengar ada orang miskin mahu beli minyak masak pun tidak cukup duit.
“Macam mana saya boleh jadi Perdana Menteri, kereta ada, rumah ada, tetapi rakyat saya susah hendak beli barang keperluan. Sebab itu kita bagi SARA,” katanya.
Anwar berkata, kerajaan akan terus menyalurkan hasil negara kepada rakyat menerusi pelbagai bentuk bantuan dan inisiatif kebajikan sekiranya terus mendapat sokongan.
Sumbangan Asas Rahmah (SARA) ialah inisiatif kerajaan untuk membantu golongan miskin dan miskin tegar mendapatkan barangan keperluan asas.
Program itu merupakan pelengkap kepada Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan dilaksanakan secara tanpa tunai melalui MyKad dengan kerjasama Yayasan MyKasih.