KUALA LUMPUR: Pemuda UMNO Malaysia yakin Barisan Nasional (BN) mampu mengekalkan pentadbiran di Melaka dan Johor selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, walaupun gabungan itu memilih untuk bergerak solo.
Ketua Pemudanya, Datuk Dr Mohamad Akmal Saleh berkata keyakinan itu berdasarkan prestasi kerajaan negeri diterajui BN, yang menurutnya berjaya menunjukkan kemampuan mentadbir dengan baik.
“Insya-Allah saya ada keyakinan yang sangat tinggi. Kalau kita ambil konteks Johor dan Melaka, hari ini kita tengok bahawa kerajaan Johor yang dipelopori Menteri Besarnya daripada BN mencatat pelaburan paling tinggi dalam Malaysia, malah tertinggi dalam sejarah.
“Ini menunjukkan bahawa kita ada bukti dan kemampuan untuk mentadbir negeri dengan baik,” katanya dalam sidang media selepas program Rundingan Meja Bulat Nasional (Rimbun 2.0) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCK KL), hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa UMNO dan BN hampir pasti bergerak solo pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Mohamad Akmal berkata kerajaan Melaka di bawah pimpinan BN turut mencatatkan pelaburan tertinggi selepas tempoh antara 15 hingga 20 tahun.
“Saya percaya rakyat boleh faham dan rakyat akan memberikan sekali lagi kepercayaan kepada kerajaan BN di Johor dan Melaka, insya-Allah,” katanya.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dijangka terbubar secara automatik pada 27 Disember ini, manakala Johor pada 21 April tahun depan.