SHAH ALAM: Perikatan Nasional (PN) akan mengadakan mesyuarat tergempar bagi membincangkan keanggotaan parti gabungan PN di Pejabat Agung Pas di Kuala Lumpur pada malam Isnin.
Mesyuarat itu dijadualkan berlangsung pada jam 8.30 malam berdasarkan notis yang ditandatangani Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan bertarikh 18 Jun 2026.
Sidang berkenaan akan berlangsung berdasarkan Fasal 10 (Pemberitahuan Mesyuarat dan Agenda) dan Fasal 12 (Kekerapan Mesyuarat).
Notis tersebut turut diedarkan kepada Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan empat Timbalan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai, Punithan Paramsiven dan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
"Agenda (adalah berkaitan) keanggotaan PN," katanya dalam satu kenyataan.
Antara isu yang dijangka akan dibentangkan dalam mesyuarat tergempar itu adalah mengenai penggunaan nama gabungan itu.
Terdahulu, PN menegaskan sebarang aktiviti atau mesyuarat yang menggunakan nama gabungan itu tidak boleh diadakan tanpa keizinan pengerusinya.
Menurut Takiyuddin, ketetapan tersebut untuk memastikan segala aktiviti, urusan pentadbiran dan pengurusan parti dilaksanakan mengikut perlembagaan parti serta mematuhi Akta Pertubuhan 1966 [Akta 832].
Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden Pas dan Menteri Besar Terengganu diumumkan sebagai Pengerusi PN yang baharu pada 22 Februari lalu.
Pelantikan itu dibuat selepas Muhyiddin mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Pengerusi PN, berkuat kuasa 1 Januari, selepas mengetuai gabungan itu sejak 7 Ogos 2020. -- Sinar Harian