Skip to main content

Politik

PH perkemas strategi, gerak kerja hadapi PRN Negeri Sembilan

JOHOR BAHRU, 3 Julai -- Menteri Besar Selangor yang juga Naib Presiden Keadilan, Datuk Seri Amirudin Shari memberi ucapan pada Majlis Peluncuran Manifesto Harapan Johor Untuk Semua hari ini.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHAR
Amirudin berkata kepimpinan PH akan mengadakan mesyuarat malam ini bagi menyusun strategi yang lebih tersusun sebagai persediaan menghadapi PRN Negeri Sembilan dan pilihan raya di negeri-negeri lain. - Gambar fail/Bernama

SHAH ALAM: Pakatan Harapan (PH) akan memperkemaskan strategi dan gerak kerja pilihan raya bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan selepas merekodkan penurunan sokongan pada PRN Johor baru-baru ini.

Pengarah Pilihan Raya PH Datuk Seri Amirudin Shari berkata berdasarkan analisis keputusan pilihan raya di Johor, gabungan berkenaan perlu memberi tumpuan kepada usaha mengukuhkan semula sokongan pengundi Melayu selain meningkatkan sokongan dalam kalangan pengundi muda.

“Baru-baru ini kita mempunyai pengundi teras yang agak besar, namun kita mengalami penurunan sokongan yang agak ketara dalam kalangan pengundi Melayu di Johor.

“Insya-Allah, kita akan memperkemaskan sokongan khususnya dalam kalangan pengundi muda kerana peratusannya masih boleh ditingkatkan berdasarkan data setiap saluran yang telah kita kembangkan," katanya pada sidang media di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS), di sini hari ini.

Beliau berkata kepimpinan PH akan mengadakan mesyuarat malam ini bagi menyusun strategi yang lebih tersusun sebagai persediaan menghadapi PRN Negeri Sembilan dan pilihan raya di negeri-negeri lain.

“Kita perlu mengubah pendekatan kempen kerana di Negeri Sembilan kita merupakan pihak yang sedang mentadbir, berbeza dengan kerangka kita sebagai pembangkang di Johor yang mahu merampas kuasa,” katanya.

Amirudin berkata strategi baharu itu turut melibatkan penambahbaikan penyampaian maklumat serta penyelarasan mesej politik dalam kalangan parti komponen PH iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR), Amanah dan DAP.

Beliau yang baharu dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya PH semalam berkata gerak kerja mempertahankan Negeri Sembilan akan dilaksanakan secara bersepadu bersama kepimpinan negeri.

"Saya baru dilantik sebagai pengarah pilihan raya semalam untuk menguruskan pengurusan pilihan raya PH dan sudah pasti saya akan terlibat secara aktif bagi kesediaan di Negeri Sembilan.

"Kita akan menggabungkan langkah awal yang telah dilaksanakan oleh (Menteri Besar Negeri Sembilan) Datuk Seri Aminuddin Harun dengan sokongan yang diperlukan supaya gerak kerja lebih tersusun," katanya.

Beliau berkata pemilihan calon dan strategi kempen juga akan mengambil kira faktor lokaliti bagi memastikan calon yang diketengahkan mampu mendapat sokongan pengundi di setiap kawasan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon bagi PRN Negeri Sembilan pada 18 Julai, diikuti pengundian awal 28 Julai dan hari pengundian pada 1 Ogos.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement