IPOH: Ketua Pemuda Amanah Johor, Muhammad Taqiuddin Cheman dan Timbalan Ketua Pemuda Amanah negeri itu, Afif Hamid disahkan akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Pengarah Pilihan Raya Pemuda Amanah Nasional, Khairol Najib Hashim berkata, kedua-dua pemimpin muda itu akan diletakkan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang disasarkan untuk dimenangi oleh parti berkenaan.
Menurutnya, pengumuman rasmi berhubung kerusi yang akan ditandingi mereka dijangka dibuat pada Isnin.
"Yang pastinya Ketua Pemuda Amanah Johor, Muhammad Taqiuddin Cheman dan Timbalan Ketua Pemuda Amanah Negeri Johor, Afif Hamid akan bertanding di DUN yang kita sasarkan untuk menang.
"Selain itu, seorang lagi calon pemuda akan ditampilkan oleh Amanah Nasional yang akan berdepan seorang tokoh politik besar di Johor," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Tahunan Amanah Kawasan Tambun di sini pada Ahad.
Hadir sama Pengerusi Amanah Perak merangkap Ketua Amanah Kawasan Tambun, Datuk Asmuni Awi.
Mengulas lanjut, Khairol Najib berkata, Pemuda Amanah Johor dan Amanah Nasional sebelum ini telah mengemukakan senarai pendek calon-calon muda bagi menghadapi PRN Johor.
Menurutnya, setakat ini hampir satu perempat daripada jumlah kerusi yang ditandingi Amanah pada PRN berkenaan akan diisi oleh calon pemuda.
Dalam perkembangan berkaitan, Asmuni berkata, Amanah Perak akan menggerakkan kira-kira 500 petugas bagi membantu kempen Pakatan Harapan (PH) di Johor dan Negeri Sembilan.
Katanya, jentera itu akan diagihkan mengikut kawasan dengan setiap kawasan menghantar sekitar 10 petugas berdasarkan jadual yang telah disusun.
Sementara itu, beliau menyifatkan kemelut yang berlaku dalam Perikatan Nasional (PN) memberi kelebihan kepada PH menjelang pilihan raya.
Menurutnya, konflik dalaman yang melibatkan parti-parti dalam gabungan tersebut menimbulkan persoalan mengenai kekuatan dan kesepaduan PN.
"Saya rasa apa yang berlaku itu menunjukkan betapa rapuhnya kesatuan mereka yang selama ini mendakwa mahu menyatukan orang Melayu di bawah satu payung besar.
"Bagaimanapun, kita tidak tahu bagaimana pengakhirannya kerana setakat ini Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) masih mengambil sikap berdiam diri," katanya.
Pada Jumaat, Sinar Harian melaporkan Amanah akan mempertaruhkan lebih ramai calon muka baharu, termasuk dalam kalangan orang muda dan wanita pada PRN Johor kali ini.
Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan berkata, daripada 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bakal ditandingi parti itu, kira-kira enam atau tujuh calon adalah individu yang pernah bertanding sebelum ini.
Baki daripada jumlah itu adalah muka baharu dengan separuh daripadanya terdiri daripada calon muda. - Sinar Harian