KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menafikan dakwaan kononnya kerajaan Negeri Johor pimpinan Menteri Besarnya Datuk Onn Hafiz Ghazi ‘overclaim’, atau mendabik dada berhubung kejayaan pembangunan, tanpa bergantung kepada Kerajaan Persekutuan.
Setiausahanya, Mohd Hafiz Ariffin berkata, naratif yang kini dimainkan pimpinan Pakatan Harapan (PH) itu berisiko mengelirukan kerana tidak mengambil kira keseluruhan konteks kewangan serta sumbangan ekonomi negeri berkenaan.
Menurut beliau, persoalan utama ialah sama ada Johor sebenarnya lebih banyak menerima atau menyumbang kepada Persekutuan.
“Data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan Johor menyumbang kira-kira 9.6 peratus kepada ekonomi negara dengan KDNK sekitar RM158 bilion.
“Dalam masa sama, kutipan cukai langsung negara oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berjumlah kira-kira RM203.9 bilion, sekali gus memberi gambaran aktiviti ekonomi Johor berpotensi menyumbang hampir RM20 bilion kepada hasil Persekutuan.
“Ini menunjukkan Johor bukan sekadar penerima, tetapi penyumbang besar kepada ekonomi negara,” katanya.
Mohd Hafiz turut menegaskan angka RM14.6 bilion yang dibangkitkan tidak boleh ditafsir sebagai dana yang disalurkan terus kepada kerajaan negeri Johor.
Sebaliknya, katanya, jumlah itu merangkumi pelbagai komponen termasuk perbelanjaan mengurus dan pembangunan Persekutuan serta kos operasi agensi kerajaan seperti gaji penjawat awam, hospital, sekolah dan pasukan keselamatan.
Katanya, gambaran bahawa keseluruhan jumlah itu merupakan pemindahan tunai kepada Johor adalah tidak tepat.
Dalam pada itu, beliau mendakwa sebahagian angka berkenaan turut melibatkan projek yang masih di peringkat perancangan atau pengumuman, termasuk projek infrastruktur dan kemudahan awam yang belum dilaksanakan sepenuhnya.
Menurutnya, keadaan itu boleh mewujudkan persepsi seolah-olah semua peruntukan telah dinikmati rakyat, sedangkan pelaksanaannya masih belum direalisasikan sepenuhnya.
Perbahasan mengenai sumbangan Johor kepada ekonomi negara dan agihan hasil Persekutuan bukan perkara baharu, termasuk apabila Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, sebelum ini membangkitkan keperluan meningkatkan peratusan hasil yang dikembalikan kepada negeri itu.
Sehubungan itu, Mohd Hafiz mempersoalkan mengapa naratif berkenaan kembali diketengahkan ketika ini, termasuk kemungkinan ia digunakan bagi membentuk persepsi politik tertentu terhadap kerajaan negeri.