SEREMBAN: Pakatan Harapan (PH) tidak menolak kemungkinan mengadakan debat terbuka antara Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dengan Datuk Seri Jalaluddin Alias, namun hanya jika Barisan Nasional (BN) terlebih dahulu mengesahkan Ahli Parlimen Jelebu itu sebagai calon Menteri Besar.
Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad berkata, status Jalaluddin sebagai calon rasmi Menteri Besar perlu diperjelaskan sebelum sebarang cadangan debat boleh dipertimbangkan.
Menurut beliau, sekiranya Jalaluddin hanya bertanding sebagai calon Dewan Undangan Negeri (DUN) biasa, adalah tidak wajar beliau mencabar Aminuddin yang juga Menteri Besar untuk berdebat.
“Adakah Jalaluddin merupakan calon Menteri Besar? Adakah apabila beliau mencabar Tok Min (Aminuddin), ia mengesahkan beliau calon Menteri Besar daripada BN dan PN?
“Kalau beliau hanya salah seorang calon ADUN biasa, saya rasa tidak sesuailah untuk mencabar Tok Min berdebat.
“Biarlah diumumkan dan diisytiharkan secara rasmi terlebih dahulu. Biar Tok Mat (Datuk Seri Mohamad Hasan) atau Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan Jalaluddin sebagai calon Menteri Besar BN.
"Selepas itu, barulah kita boleh mempertimbangkan perkara tersebut,” katanya dalam satu sidang media oleh PH, di sini, pada Khamis.
Sebelum ini, Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias membuat satu pelawaan secara terbuka ketika berkempen untuk mengadakan satu sesi dialog bersama Datuk Seri Aminuddin Harun.