KUALA LUMPUR: Cadangan supaya seseorang pemimpin melepaskan jawatan perlu dinilai daripada perspektif tadbir urus yang ideal serta realiti politik Malaysia, kata Pengasas Undi18, Tharma Pillai.
Menurutnya, jawatan di peringkat Persekutuan tidak seharusnya terjejas oleh perkembangan politik di peringkat negeri kerana kedua-duanya merupakan entiti pentadbiran yang berbeza dan perlu diasingkan.
“Sepatutnya tidak perlu untuk meletakkan jawatan kerana hakikatnya kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan adalah berbeza.
“Semua pihak perlu mengambil kira realiti bahawa Malaysia bukan sebuah negara yang besar. Hubungan antara kerajaan negeri dan Persekutuan juga sangat rapat,” katanya semasa wawancara Agenda AWANI yang disiarkan pada Isnin.
Semalam, Angkatan Muda Harapan (AMH) menggesa semua Menteri dan Timbalan Menteri daripada Barisan Nasional (BN) meletakkan jawatan dalam kabinet Kerajaan Perpaduan.
Gesaan tersebut timbul susulan perkembangan politik terkini yang menyaksikan BN secara terbuka bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.
AMH mendakwa, tindakan BN bekerjasama secara terbuka dengan PN membuktikan parti berkenaan tidak menghargai kepercayaan serta kedudukan yang diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menyentuh kerjasama dalam gabungan parti politik yang merangkumi pelbagai ideologi, Tharma berkata, semua parti sepatutnya duduk semeja bagi mencapai persetujuan mengenai prinsip asas.
Pada masa sama, beliau berpendapat semua pihak harus akur terhadap 'garis merah' yang tidak boleh dikompromi demi keharmonian dalam gabungan.
“Apa red lines yang kita tidak boleh kompromi? Dan apakah agenda bersama, seperti mahu ekonomi yang lebih makmur dan kos sara hidup yang lebih rendah. Itulah antara perkara yang kita boleh persetujui bersama,” katanya lagi.
Beliau turut mengambil contoh amalan terbaik di United Kingdom dan New Zealand, apabila parti-parti yang bersetuju membentuk kerajaan terlebih dahulu duduk semeja bagi menyepakati agenda bersama sebelum memulakan pentadbiran.