KUALA LUMPUR: Angkatan Muda Harapan (AMH) menggesa semua Menteri dan Timbalan Menteri daripada Barisan Nasional (BN) meletakkan jawatan dalam Kabinet susulan perkembangan politik terkini yang menyaksikan BN secara terbuka bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) di Johor dan Negeri Sembilan.
Dalam kenyataan bersama itu, AMH mendakwa, tindakan BN bekerjasama secara terbuka dengan PN membuktikan parti berkenaan tidak menghargai kepercayaan serta kedudukan yang diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam Kerajaan Perpaduan.
"BN juga dilihat lebih cenderung kepada percaturan politik jangka pendek berbanding mempertahankan semangat kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.
"AMH turut mempersoalkan kenyataan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menyebut sokongan pengundi terhadap calon BN dan PN di peringkat negeri sebagai medan menguji formula yang berpotensi diterjemahkan pada skala nasional menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
"Kenyataan itu menunjukkan kerjasama BN-PN bukan lagi sekadar bersifat sementara atau taktikal, sebaliknya berpotensi menjadi persediaan ke arah pembentukan jajaran politik baharu," kata AMH dalam satu kenyataan, pada Ahad.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan Ketua Penerangan Angkatan Muda Harapan yang juga Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Ammar Atan; Setiausaha Publisiti DAPSY Kebangsaan, Ho Chi Yang; Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan, Danish Hairudin serta Pengarah Biro Komunikasi WARDA, Syazana Nasir.
AMH berkata, perkembangan itu menimbulkan persoalan serius terhadap komitmen BN untuk terus bersama Kerajaan Perpaduan.
Dalam pada itu, AMH berkata Pakatan Harapan (PH) sebelum ini tetap memperuntukkan jawatan Exco kepada BN di Pulau Pinang dan Selangor selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023 sebagai menghormati semangat Kerajaan Perpaduan.
AMH mendakwa, tindakan BN yang berulang kali menguji kesabaran rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan menimbulkan persoalan terhadap komitmen sebenar parti itu.
"Sehubungan itu, AMH menggesa semua Menteri dan Timbalan Menteri daripada BN meletakkan jawatan dengan segera supaya BN dapat memberikan tumpuan sepenuhnya kepada usaha mengukuhkan kerjasama politik dengan PN tanpa menjejaskan pentadbiran Kerajaan Persekutuan.
"AMH turut berpandangan peletakan jawatan berkenaan dapat mengurangkan kekeliruan rakyat berhubung pendirian politik BN serta mengelakkan sebarang percubaan yang boleh menjejaskan kestabilan Kerajaan Perpaduan.
"Langkah itu akan memberi ruang kepada kerajaan untuk memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh ekonomi, menarik pelaburan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat," ujarnya.