Skip to main content

Politik

38 pusat mengundi awal PRN Negeri Sembilan dibuka tepat 8 pagi

PORT DICKSON, 28 Julai -- Suasana proses pengundian awal bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA), Port Dickson, pagi ini.  Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos, manakala pengundian awal berlangsung hari ini.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Suasana proses pengundian awal bagi PRN Negeri Sembilan ke-16 di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA), Port Dickson, pagi ini. - Foto BERNAMA

SEREMBAN: Sebanyak 38 pusat mengundi awal bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 dibuka tepat pada 8 pagi ini bagi membolehkan 22,339 anggota pasukan keselamatan serta pasangan masing-masing menunaikan tanggungjawab mereka. 

Mengikut statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sejumlah 16,884 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersama-sama pasangan akan melaksanakan tanggungjawab mereka di lapan pusat mengundi ditetapkan.

Baki 5,455 pemilih terdiri daripada warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama dengan pasangan pula dijadualkan menunaikan hak mereka di 30 pusat mengundi.

Kesemua pusat pengundian berkenaan akan ditutup secara berperingkat mengikut jadual yang ditetapkan SPR bermula dari 12 tengah hari ini hingga 5 petang. 

Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati keadaan di kebanyakan kawasan dilaporkan cerah hari ini.

Sabtu ini, kira-kira 889,490 pengundi biasa bakal menentukan mandat di 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, yang menyaksikan 103 calon layak bertanding.

Daripada jumlah itu, Pakatan Harapan (PH) merekodkan jumlah calon tertinggi dengan 36 orang, diikuti Barisan Nasional (BN) (25) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) (24).

Perikatan Nasional (PN) pula menampilkan 11 calon, diikuti empat calon Bebas, manakala Barisan Jamaah Islamiah Semalaysia (Berjasa), Parti Orang Asli Malaysia (ASLI) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) masing-masing seorang.

DUN Negeri Sembilan dibubarkan secara rasmi pada 5 Jun bagi memberi laluan kepada PRN, manakala Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 1 Ogos sebagai hari pengundian.

 -- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement