Skip to main content

Malaysia

Zakat Selangor: Laman Agro Ehsan semai harapan baharu buat asnaf

Zakat Selangor, Agro credit: Zakat Selangor
Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah (tengah) bersama kakitangan Zakat Selangor dan para peserta Projek Agroekonomi Laman Agro Ehsan. - Foto Zakat Selangor

HULU SELANGOR: Setiap peluang yang diberikan mampu menjadi titik permulaan kepada sebuah kehidupan lebih baik.

Berpegang kepada aspirasi itu, Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor) terus memperkukuh usaha memperkasa golongan asnaf menerusi Projek Agroekonomi Laman Agro Ehsan, sebuah inisiatif pembangunan jangka panjang yang memberi tumpuan kepada pembinaan kemahiran, peluang ekonomi dan kemandirian.

Ahli Jawatankuasa Penasihat Laman Agro Lembaga Zakat Selangor, Datuk Adnan Pawanteh, berkata projek berkenaan dibangunkan bagi mengubah pendekatan agihan zakat daripada sekadar memenuhi keperluan jangka pendek kepada membina keupayaan asnaf supaya mampu menjana pendapatan sendiri secara mampan.

Menurut beliau, agroekonomi dipilih sebagai antara pendekatan pemerkasaan kerana sektor itu berpotensi menyediakan sumber pendapatan yang lebih lestari melalui latihan, bimbingan dan akses kepada pasaran.

Image
Zakat Selangor, Agro credit: Zakat Selangor
Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah (tengah) ketika sesi penyerahan wakalah. - Foto Zakat Selangor

"Zakat Selangor memilih agroekonomi sebagai salah satu pendekatan pemerkasaan asnaf.

"Ini kerana Zakat Selangor yakin, kemiskinan bukan semata-mata soal kekurangan bantuan, tetapi soal akses kepada peluang yang mampu mengubah kehidupan secara berkekalan.

"Melalui pendekatan ini, zakat tidak berhenti pada agihan, tetapi berkembang menjadi pemangkin kepada kemandirian," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Projek Agroekonomi Laman Agro Ehsan yang disempurnakan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah, di Bukit Beruntung, Hulu Selangor pada Rabu.

Projek seluas 110 ekar itu merangkumi 76 ekar kawasan agro yang menempatkan 48 plot tanaman cili fertigasi diusahakan oleh asnaf. Seramai 48 peserta dipilih mengikuti program pembangunan selama tiga tahun yang merangkumi latihan teknikal, bimbingan dan pemantauan berterusan, selain berpotensi menjana pendapatan sehingga RM4,000 sebulan.

Setiap peserta turut mengusahakan satu plot tanaman seluas 0.5 ekar yang menempatkan 2,000 beg tanaman cili, di samping menerima kemudahan kediaman yang dibiayai Zakat Selangor sepanjang tempoh program.

Image
Zakat Selangor, Agro credit: Zakat Selangor
Raimi Rusydi (gambar) yang juga merupakan bekas kakitangan media memanjat rasa syukur terhadap inisiatif Agroekonomi Laman Agro Ehsan oleh Zakat Selangor kerana menjadi pembakar semangat untuk beliau terus bangkit mencari rezeki bagi menampung keluarganya. - Foto Zakat Selangor

Bagi peserta Raimi Rusydi Rodi, peluang menyertai Laman Agro Ehsan bukan sekadar membuka ruang untuk mencari rezeki, malah menjadi medan pembelajaran yang mengubah kehidupannya.

"Saya ingin ucapkan terima kasih kepada pembayar Zakat kerana memberi saya peluang kembali ke sini.

"Tiga tahun seperti 10 tahun dalam hidup. 48 orang, ada 48 pengalaman yang ada di sini. 40 situasi kita belajar, 48 benda.

"Kalau saya di luar sana, mungkin saya tak dapat pengalaman ini seorang-seorang," jelasnya.

Image
Zakat Selangor, Agro credit: Zakat Selangor
Norfhadilah (gambar) berkongsi kegembiraan dan seyuman terukir setiap kali tanaman cili hasil jagaannya sendiri membuahkan hasil sekali gus memuji pihak Zakat Selangor kerana bukan sahaja memberi peluang pekerjaan malah, ruang pembelajaran dalam dunia agroekonomi. - Foto Zakat Selangor

Seorang lagi peserta, Norfhadilah Mohd Shafiin, pula berharap peluang yang diterimanya menjadi langkah pertama untuk keluar daripada golongan asnaf sebelum suatu hari nanti mampu kembali menyumbang sebagai pembayar zakat.

"Baguslah kepada zakat, bagi peluang kepada orang lain. Untuk yang tidak pernah menerima, nanti boleh memberi kepada orang lain.

"Kalau boleh bermula dengan zakat, Insya-Allah kita juga nak jadi penyumbang zakat," ujarnya.

Bagi memastikan hasil tanaman peserta mempunyai pasaran yang lebih terjamin, Zakat Selangor turut melaksanakan pendekatan perladangan kontrak (contract farming) menerusi rangkaian pembeli daripada sektor peruncitan, agensi pemasaran pertanian dan pertubuhan peladang.

Image
Zakat Selangor, Agro credit: Zakat Selangor
Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah (kiri) turut menyaksikan hasil tanaman cili oleh golongan asnaf menerusi Projek Agroekonomi Laman Agro Ehsan. - Foto Zakat Selangor

Pelaksanaan Projek Agroekonomi Laman Agro Ehsan turut disokong menerusi dana wakalah berjumlah kira-kira RM2.07 juta daripada Lembaga Tabung Haji, RHB Islamic Bank Berhad dan Cagamas Berhad, sekali gus memperkukuh usaha membina ekosistem pembangunan asnaf yang lebih mampan dan berdaya saing.

Must Watch Video

Advertisement