Skip to main content

Malaysia

Waris insiden pokok tumbang terima faedah Perkeso sepanjang hayat

Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO)
Zam Zureena turut menerima Faedah Pengurusan Mayat atau khairat kematian RM3,000 secara sekali bayar bagi membantu urusan pengebumian Allahyarham di kampung halamannya di Batu Pahat, Johor. - Gambar Perkeso

KUALA LUMPUR: Waris mangsa yang maut dalam insiden pokok tumbang berhampiran Jalan Tun Razak di sini pada Sabtu lepas layak menerima faedah daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) selepas semakan mendapati Allahyarham merupakan pencarum aktif Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (LINDUNG Kendiri).

Perkeso dalam kenyataan hari ini memaklumkan, tindakan Allahyarham Mohd Amir Shazwan Saion memperbaharui caruman LINDUNG Kendiri pada Februari lepas membolehkan isterinya, Zam Zureena Mohd Rani menerima Faedah Orang Tanggungan (FOT) iaitu pencen bulanan RM837 sepanjang hayat.

Selain itu, Zam Zureena yang berkhidmat sebagai pegawai penyelidik turut menerima Faedah Pengurusan Mayat atau khairat kematian RM3,000 secara sekali bayar bagi membantu urusan pengebumian Allahyarham di kampung halamannya di Batu Pahat, Johor.

Menurut Perkeso, keprihatinan Allahyarham terhadap perlindungan sosial ketika mencari rezeki sebagai pemandu kereta sewa memastikan kebajikan keluarganya terus terpelihara selepas pemergiannya.

"Insiden ini berlaku selepas Mohd Amir Shazwan menghantar penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Difahamkan Allahyarham dalam perjalanan memulangkan kenderaan sewa syarikat di Datuk Keramat dan ingin pulang ke rumahnya di Cheras," menurut kenyataan itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Perkeso memaklumkan tragedi itu yang berlaku susulan hujan lebat, menjadi antara contoh jelas kepentingan perlindungan di bawah Skim LINDUNG 24 Jam.

Menurut kenyataan itu, pengenalan skim berkenaan membuktikan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memastikan kebajikan dan keselamatan pekerja sentiasa terbela bukan sahaja ketika bekerja atau berulang-alik ke tempat kerja, malah sepanjang masa.

Sejak Skim LINDUNG 24 Jam berkuat kuasa pada 1 Jun lepas, Perkeso merekodkan purata 32 permohonan faedah sehari membabitkan kemalangan di luar waktu kerja, termasuk pada hujung minggu dan cuti umum.

"Kemalangan boleh berlaku pada bila-bila masa. Justeru, Kerajaan MADANI mahu rakyat memahami bahawa LINDUNG 24 Jam mampu menjadi jaminan kelangsungan hidup keluarga dengan memastikan sumber pendapatan, khususnya ketua keluarga tidak terputus sekiranya berlaku musibah," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement