PUTRAJAYA: Sambutan Hari TVET Negara yang diadakan setiap tahun membuktikan komitmen berterusan kerajaan dalam memartabat dan memperkasakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai pemacu utama pembangunan negara.
Pengarah Politeknik Melaka, Dr Noriah Abdul Malek berkata sambutan itu bukan sekadar acara tahunan, malah menjadi platform penting untuk menterjemahkan agenda “TVET For All” kepada masyarakat.
Menurut beliau, program berkenaan memberi peluang kepada orang ramai melihat sendiri bagaimana teknologi, inovasi dan kemahiran diaplikasikan dalam pelbagai sektor industri yang menjadi tunjang ekonomi negara.
“Hari TVET Negara memberi ruang kepada masyarakat untuk memahami bahawa TVET semakin relevan dan diperlukan pada masa kini. Orang ramai juga dapat melihat sendiri bagaimana teknologi, inovasi dan kemahiran digunakan dalam pelbagai bidang industri,” katanya.
Dalam pada itu, Noriah berkata Politeknik Melaka terus menjadi pilihan pelajar dengan rekod kebolehpasaran graduan melebihi 98 peratus sehingga tahun 2025.
Beliau berkata, institusi itu yang merupakan politeknik ke-11 daripada 36 politeknik di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi telah melahirkan lebih 11,000 graduan sejak penubuhannya.
Menurutnya, lima program pengajian di Politeknik Melaka turut menerima permohonan melebihi kapasiti antaranya Diploma Kejuruteraan Elektronik (Kawalan), Diploma Kejuruteraan Mekanikal, Diploma Kejuruteraan Awam, Diploma Perniagaan Antarabangsa dan Diploma Perakaunan.
“Politeknik Melaka menawarkan program dalam bidang kejuruteraan dan perdagangan yang memenuhi keperluan industri. Matlamat kami adalah melahirkan graduan yang holistik, seimbang dan mempunyai nilai keusahawanan yang tinggi.
“TVET bukan lagi sekadar kerja manual. Hari ini, pelajar TVET menggunakan teknologi terkini dan bekerjasama rapat dengan industri. TVET bukan hanya mengenai minda, tetapi juga kemahiran tangan dan nilai diri yang membentuk graduan berkualiti.
“Politeknik Melaka sendiri bekerjasama dengan 22 industri di negeri itu serta agensi seperti CIDB bagi memastikan kurikulum dan latihan yang ditawarkan sentiasa memenuhi kehendak pasaran pekerjaan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa lepasan SPM dan ibu bapa yang masih ragu-ragu mengenai TVET supaya menghadiri program Hari TVET Negara 2026 bagi mendapatkan maklumat secara langsung mengenai peluang pendidikan dan kerjaya yang ditawarkan.
Hari TVET Negara 2026 yang diadakan di Dataran Putrajaya bermula 5 hingga 7 Jun ini, pada jam 9 pagi hingga 10 malam, mengangkat tema "TVET Pilihan Utama Kerjaya" dan menghimpunkan lebih 107 agensi, institusi dan pemain industri daripada sembilan sektor utama.