PUTRAJAYA: Malaysia kini berada di landasan untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi antara 2028 hingga 2030.
Namun menurut Laporan Tinjauan Ekonomi Malaysia, Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), beberapa pembaharuan struktur perlu dipercepat bagi memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi dapat dinikmati secara lebih menyeluruh oleh rakyat.
Kata laporan itu, meskipun negara dijangka melepasi ambang berpendapatan tinggi dalam tempoh berkenaan, kurang separuh daripada rakyat Malaysia dijangka memperoleh pendapatan melepasi paras pendapatan tinggi pada ketika itu.
Laporan itu menyatakan pendapatan purata isi rumah perlu meningkat hampir dua kali ganda bagi membolehkan majoriti rakyat menikmati taraf pendapatan negara berpendapatan tinggi.
"Selain itu, sistem perlindungan sosial negara juga masih memerlukan penambahbaikan kerana liputannya masih terhad, selain masih ramai pesara tidak mempunyai perlindungan pencen hari tua yang mencukupi.
"Pada masa sama, pencapaian pendidikan Malaysia dilihat masih ketinggalan berbanding beberapa negara serantau, sekali gus mengekang usaha meningkatkan produktiviti serta pendapatan rakyat pada masa hadapan," kata laporan itu.
Sehubungan itu, laporan itu menyarankan, Malaysia mempercepat pembaharuan struktur bagi mempercepat peralihan daripada ekonomi berasaskan pembuatan berintensifkan buruh dan kos rendah kepada ekonomi yang dipacu inovasi serta nilai tambah tinggi.
Laporan itu turut menegaskan usaha memperkukuh sistem pendidikan perlu menjadi keutamaan dalam agenda reformasi negara bagi melahirkan tenaga kerja yang lebih berkemahiran dan memenuhi keperluan industri.
Selain itu, laporan itu mencadangkan produktiviti dipertingkat melalui persaingan yang lebih terbuka, termasuk dalam sektor perkhidmatan yang sebelum ini banyak didominasi syarikat milik kerajaan (GLC).
Pada masa sama, organisasi itu berpandangan gabungan perbelanjaan kerajaan yang lebih cekap serta peningkatan hasil negara akan membolehkan kerajaan memperkukuh jaringan keselamatan sosial dan meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan awam.