KUANTAN: Tiga individu termasuk dua remaja perempuan didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menunggang motosikal secara berbahaya dengan melakukan aksi “superman” pada minggu lepas.
Nur Liana Atirah Roslan, 21, mengaku tidak bersalah manakala dua rakannya yang berusia 18 dan 17 tahun mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Wahidah Zainal Abidin.
Mengikut pertuduhan, mereka yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC135 didakwa melakukan aksi itu di Jalan Pintasan Kuantan dari arah Terminal Sentral Kuantan menghala ke Bukit Rangin di sini, pada 12.30 tengah malam 16 Julai.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda RM5,000 hingga RM15,000 serta hilang kelayakan memegang lesen memandu minimum dua tahun dari tarikh sabitan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Noraini Mohd Nor manakala semua mereka tidak diwakili peguam.
Wahidah membenarkan jaminan RM3,000 terhadap Nur Liana Atirah dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Ogos untuk lantikan peguam serta serahan dokumen.
Beliau juga membenarkan jaminan RM3,000 dan RM2,000 kepada dua lagi remaja terlibat serta menetapkan hari sama untuk mendapatkan laporan sosial dan akhlak mereka sebelum menjatuhkan hukuman.
Sebelum ini, polis mengesahkan penahanan tiga penunggang motosikal wanita di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Kuantan pada 18 Julai selepas video aksi mereka tular di media sosial.
-- BERNAMA