Skip to main content

Dunia

Keselamatan tenaga, krisis Asia Barat tumpuan perbincangan ASEAN, rakan dialog

Astro AWANI
Filipina memulakan hari ketiga Mesyuarat AMM ke-59 yang berlangsung selama seminggu dengan mengadakan Persidangan PMC bersama rakan dialog blok itu. - Gambar fail/Astro AWANI

MANILA: Usaha memastikan keselamatan tenaga dan makanan di tengah-tengah krisis Asia Barat yang berterusan menjadi agenda utama dalam siri mesyuarat ASEAN bersama rakan dialognya pada Rabu, lapor Agensi Berita Filipina (PNA).

Filipina memulakan hari ketiga Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-59 yang berlangsung selama seminggu dengan mengadakan Persidangan Pasca Menteri ASEAN (PMC) bersama rakan dialog blok itu.

Pada PMC bersama Amerika Syarikat (AS), Setiausaha Negara Marco Rubio menjanjikan sokongan menyeluruh terhadap keselamatan tenaga, rantaian bekalan dan infrastruktur penerbangan Asia Tenggara menerusi pelaburan strategik baharu bernilai US$1.5 bilion.

Beliau berkata AS turut akan membantu membangunkan pasaran gas asli cecair di Asia Tenggara dengan menggunakan teknologi grid AS serta menyokong Grid Tenaga ASEAN.

"Ketika ASEAN berusaha melaksanakan Perjanjian Keselamatan Petroleum ASEAN, Amerika Syarikat akan terus terlibat secara aktif dalam isu berkaitan tenaga," katanya.

Menteri Luar Britain Ed Miliband, yang baru menyandang jawatan itu pada 20 Julai, menyampaikan komitmen United Kingdom (UK) untuk meningkatkan kerjasama dengan ASEAN, sambil menyatakan bahawa usaha membentuk keselamatan maritim, tenaga dan ekonomi rantau ini bergantung kepada bagaimana negara bekerjasama secara pelbagai hala.

Beliau turut menyeru negara-negara supaya "menyuntik semula tenaga dan momentum antarabangsa" dalam usaha mencapai keamanan di Asia Barat serta kawasan lain yang dilanda konflik.

"Saya amat menyedari betapa konflik Iran menjejaskan rakan ASEAN kami. Anda, seperti masyarakat lain di seluruh dunia, merasai kesannya setiap hari terhadap ekonomi dan taraf hidup rakyat, selain impaknya terhadap pelaut dari banyak negara ASEAN," katanya.

"Sebagai sebuah kerajaan, saya memberi jaminan bahawa kami akan bekerjasama secara intensif dengan pihak lain bagi meredakan konflik ini dan mencari jalan penyelesaian diplomatik yang menjadi kepentingan kita semua. Ini mesti merangkumi pembukaan semula Selat Hormuz dan menegakkan prinsip asas kebebasan pelayaran," katanya.

ASEAN mengadakan PMC bersama semua rakan dialognya iaitu India, Kanada, AS, Kesatuan Eropah (EU), China, Jepun, Australia, Korea Selatan, New Zealand, Rusia dan UK di Pusat Konvensyen Antarabangsa Filipina yang baru diubah suai di Pasay City.

Semua negara rakan dialog diwakili oleh menteri luar masing-masing.

Selain perkembangan serantau, perbincangan turut merangkumi usaha memajukan kerjasama dalam keselamatan maritim, perdagangan, pendidikan dan hubungan rakyat dengan rakyat, selain usaha memerangi jenayah rentas negara.

Di luar PMC, diplomat tertinggi AS, Australia, India dan Jepun turut mengadakan mesyuarat Dialog Keselamatan Empat Hala (Quad) serta menegaskan sokongan terhadap perpaduan dan kepusatan ASEAN.

"Kami mempunyai kepentingan yang mendalam terhadap kejayaan rantau ini serta dalam kerjasama dengan ASEAN dan negara anggotanya," menurut kenyataan bersama mereka.

"Kami bersatu dalam keyakinan bahawa keamanan dan kestabilan dalam domain maritim Indo-Pasifik menjadi asas kepada keselamatan dan kemakmuran rantau ini," menurut kenyataan itu.

Pada Khamis, Filipina akan menganjurkan Forum Serantau ASEAN (ARF) peringkat tinggi dan Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS), antara lain.

-- BERNAMA-PNA

Must Watch Video

Advertisement