Skip to main content

Malaysia

Pendidikan, kebajikan, kerjaya tunjang pemerkasaan masyarakat India - Anwar

Dalam pertemuan bersama ketua-ketua masyarakat India hari ini, saya menegaskan bahawa agenda pemerkasaan mesti memberi keutamaan kepada pendidikan yang berkualiti, kebajikan yang menyeluruh, peningkatan kemahiran serta penyediaan peluang pekerjaan yang lebih baik.  -- FB Anwar Ibrahim
Anwar dalam pertemuan bersama ketua-ketua masyarakat India hari ini. - Gambar Facebook Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR: Agenda pemerkasaan masyarakat India perlu memberi keutamaan kepada pendidikan berkualiti, kebajikan menyeluruh, peningkatan kemahiran dan penyediaan peluang pekerjaan yang lebih baik, tegas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menerusi catatan di Facebook, Anwar berkata perkara itu ditegaskan dalam pertemuan beliau bersama ketua-ketua masyarakat India hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menggesa Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) dan semua agensi berkaitan agar lebih proaktif di peringkat akar umbi.

“Saya turut mengingatkan agar MITRA dan semua agensi berkaitan terus turun padang mendekati masyarakat, mengenal pasti keperluan sebenar di lapangan dan memastikan setiap inisiatif dilaksanakan memberi manfaat kepada golongan yang benar-benar memerlukan,” katanya.

Perdana Menteri berkata pendekatan berteraskan ihsan, kebertanggungjawaban dan tadbir urus yang baik penting bagi memastikan tiada mana-mana kelompok tercicir daripada arus pembangunan negara.

Anwar berkata pendekatan itu juga akan memastikan semua rakyat mempunyai peluang yang adil untuk melakar masa depan lebih baik.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement